Peguam gadis dera kanak-kanak kemuka representasi - Utusan Malaysia

Peguam gadis dera kanak-kanak kemuka representasi

PUTERI Nurin Amalina Ahmad Daud (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban pada 12 September lalu bagi didakwa atas empat pertuduhan melakukan penderaan fizikal dan penganiayaan terhadap empat kanak-kanak perempuan di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Rasah, Seremban Ogos lalu.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pihak pembelaan mewakili gadis yang merupakan penjaga sebuah pusat jagaan kanak-kanak yang berdepan pertuduhan melakukan penderaan fizikal dan penganiayaan terhadap kanak-kanak di bawah jagaannya akan mengemukakan representasi kepada pihak Jabatan Peguam Negara.

Perkara tersebut dimaklumkan pihak peguam mewakili tertuduh, Najib Zakaria pada sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini.

“Saya mohon dalam tempoh sebulan untuk kami hantar representasi kepada pihak pendakwaan,” katanya di hadapan Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Sementara itu, dalam prosiding hari ini juga, Najib turut mengemukakan permohonan jaminan atas dua pertuduhan yang dihadapi anak guamnya iaitu, Puteri Nurin Amalina Ahmad Daud, 20,

“Bagi tujuan penyelarasan, saya berasa sekiranya mahkamah mengambil pendekatan tidak benarkan jaminan, ini menggambarkan satu keadaan agak ganjil kerana pertuduhan yang sama di bawah Seksyen 31(1), tetapi satu mahkamah benarkan jaminan dan satu lagi tidak. 

“Jadi saya mohon jasa baik mahkamah dengan alasan beliau tidak diwakili, saya mohon jumlah jaminan sama seperti mana yang ditetapkan Surita (Datin Surita Budin),” katanya.

Meor Sulaiman kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan. Beliau kemudian menetapkan tarikh 3 Disember 2024 untuk sebutan semula kes.

Selain Najib, tertuduh turut diwakili oleh peguam, Dorina Abdullah. 

Kedua-dua mereka sebelum ini merupakan antara peguam yang dilantik bagi mewakili syarikat Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) Sdn. Bhd.

Pihak pendakwaan pula diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Intan Noorashikin Nasarudin dan Nor Baizura Mohd. Saubian.

Pada 12 September lalu, tertuduh berdepan empat pertuduhan di Mahkamah Sesyen Seremban kerana melakukan penderaan fizikal dan penganiayaan terhadap kanak-kanak perempuan berusia lima dan enam tahun di bawah jagaannya pada Ogos lalu.

Tertuduh bagaimanapun tidak mengaku salah atas kesemua pertuduhan ke atasnya itu yang didakwa dilakukan pada sekitar Ogos lalu di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Taman Merbok Ria, Rasah di sini.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh sebagai orang pemeliharaan terhadap kanak-kanak terbabit didakwa telah menganiayai kanak-kanak dengan menekap sudu besi panas di lengan tangan kanan kedua-dua mangsa sehingga menyebabkan kecederaan fizikal seperti melecur.

Hakim pada ketika itu, Datin Surita Budin, membenarkan wang jaminan diberikan kepada tertuduh bagi dua pertuduhan iaitu masing-masing sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dengan syarat-syarat tambahan.

Tertuduh juga didakwa di mahkamah berasingan atas dua lagi pertuduhan iaitu melakukan penganiayaan terhadap dua kanak-kanak perempuan dengan cara menekap sudu besi panas di penumbuk kanan dan di lengan kanan kanak-kanak terbabit sehingga menyebabkan kecederaan fizikal iaitu melecur.

Bagaimanapun, Meor Sulaiman pada ketika itu tidak membenarkan tertuduh diikat jamin untuk kedua-dua pertuduhan tersebut.

Untuk kesemua pertuduhan, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) Akta yang sama iaitu hukuman denda sebanyak RM50,000 dan penjara 20 tahun atau kedua-duanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN