Peguam enggan komen saman, kes 'Abang Bas' disebut semula 11 November - Utusan Malaysia

Peguam enggan komen saman, kes ‘Abang Bas’ disebut semula 11 November

MUHAMMAD QAYYIM Saiful Bahari (hadapan) dan 'Abang Bas' selepas menghadiri sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Muar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Peguam yang mewakili ‘Abang bas’ bagi serahan dokumen di Mahkamah Sesyen di sini hari ini enggan memberikan sebarang kenyataan tentang tindakan saman terhadap beberapa selebriti yang didakwa membuat tohmahan terhadap anak guamnya. 

Peguam secara probono, Muhammad Qayyim Saiful Bahari memaklumkan tidak mempunyai maklumat berkaitan tindakan tersebut yang dikendalikan oleh Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar.

“Berkenaan dengan itu (tindakan saman selebriti) tiada komen, berkenaan usaha dapatkan semula bas pun sama. Berkenaan dengan apa yang dinyatakan oleh Tok Mad (Ahmad Zaharil) kami tak ada maklumat.

“Kami memang bekerjasama tetapi daripada dua firma berbeza, saya mewakili tertuduh daripada Tetuan Hariz Syakinah & Co, itu sahaja,” katanya ringkas.

Terdahulu, Hakim Sayani Mohd. Nor menetapkan 11 November depan bagi serahan dokumen susulan pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir masih belum dapat menyerahkan laporan yang diperlukan.

Pihak defendan kemudian memohon agar prosiding yang dilakukan secara berasingan di Mahkamah Batu Pahat di bawah Seksyen 233(3) akta sama dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Muar dan dipersetujui oleh pihak mahkamah.

Sebelum ini media melaporkan ‘Abang Bas’ yang berusia 24 tahun ditahan sejak 6 September lalu dan didakwa di Mahkamah Sesyen Muar atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan bukan fizikal terhadap dua kanak-kanak termasuk anak saudaranya yang berusia empat tahun.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan 15(a)(iii) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 dan 15 akta sama.

Dia juga didakwa di Mahkamah Batu Pahat atas pertuduhan membuat dan menghantar komen bersifat jelik terhadap video seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun.

Sebelum ini, peguam probono, Ahmad Zaharil yang mewakili tertuduh memaklumkan ahli keluarga anak guamnya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu termasuk selebriti yang menyebarkan pelbagai tohmahan terhadap pemuda itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya