MACHANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menyiapkan ‘kerja rumah’ sebagai persediaan untuk menghadapi banjir susulan Monsun Timur Laut yang dijangka melanda Pantai Timur tidak lama lagi.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia merangkumi latihan kepada anggota serta menyediakan aset yang diperlukan sepanjang penugasan tersebut.
Menurutnya, bagaimanapun kesiapsiagaan PDRM dilakukan sepanjang tahun untuk berdepan dengan perubahan yang sukar diramalkan ketika ini.
“Bila berlaku satu-satu insiden mudah untuk kami (KDN) mengatur kedudukan.
“Saya boleh katakan ketika ini kita berada pada tahap mempersiapkan semua ‘kerja rumah’ hadapi banjir,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Santuni Madani, Program Satu Pemimpin Satu Kampung Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) di Kampung Bukit Tiu, di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Pengarah MCBA Datuk Seri Hazani Ghazali.
Saifuddin Nasution memberitahu, PDRM adalah salah pasukan menganggotai jawatankuasa Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) di pengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula akhir Oktober ini berisiko membawa hujan lebih ekstrem disebabkan peningkatan suhu dunia, perubahan iklim dan pemanasan global.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) sebelum ini meramalkan kebarangkalian berlakunya fenomena La Nina pada tahun ini adalah pada kadar 71 peratus walaupun belum mengisytiharkannya lagi.
Felo Akademi Sains Malaysia, Dr. Fredolin Tangang berkata, ramalan itu dikeluarkan berdasarkan keadaan corak suhu anomali permukaan laut di Lautan Pasifik menyamai fenomena La Nina.
“Ini akan meningkatkan ketidakstabilan cuaca di rantau ini dan meningkatkan kebarangkalian hujan ekstrem termasuk ketika musim MTL.
“Pada masa sama, perubahan iklim dan pemanasan global juga meningkatkan kebarangkalian hujan ekstrem,” katanya.-UTUSAN