PETALING JAYA: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu merangka pelan pembangunan bagi mengatasi masalah banjir kilat terutama di kawasan bandar berpenduduk padat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, isu itu merupakan cabaran utama dan sudah tiba waktu untuk pelan pembangunan merangkumi Bandar Pintar dan Bandar Mampan digunakan.
“Ada kaedah pengurusan (management tool) yang dibangunkan oleh Kennedy’s Business School di bawah Universiti Harvard dan saya pernah bawa mereka datang dan bentangkan kepada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
“Ia lebih kepada pelan pembangunan mampan bagaimana untuk merancang pembangunan di sesebuah tempat.
“Kalau bangunkan di kawasan baharu, ia mudah untuk dilakukan namun bagaimana jika ia dilakukan di infrastruktur atau kawasan sedia ada, ini yang kita perlu lihat,” katanya selepas menyempurnakan Konvensyen PBT 2024, di sini hari ini.