PATI sembunyi dalam hutan, elak dicekup Imigresen - Utusan Malaysia

PATI sembunyi dalam hutan, elak dicekup Imigresen

SEBAHAGIAN PATI yang ditahan dalam Op Timur yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sembilan di sekitar daerah Kuala Pilah, Jelebu, Jempol dan Tampin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Bersembunyi di dalam hutan dan kawasan ladang malah ada yang merayu supaya dilepaskan. Itu antara taktik pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba mengelak daripada ditahan dalam operasi penguatkuasaan Op Timur yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sembilan.

Menurut Pengarah JIM Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang, dalam operasi selama empat hari bermula 17 Oktober hingga 20 Oktober itu yang dijalankan di empat daerah iaitu Kuala Pilah, Jelebu, Jempol serta Tampin, seramai 151 PATI berjaya diberkas dan kemudian ditahan di Depot Imigresen Lenggeng untuk siasatan lanjut.

“Dalam operasi berkenaan, seramai 411 orang dari pelbagai warganegara telah diperiksa dan seramai 151 orang PATI berusia setahun hingga 52 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan – Peraturan Imigresen 1963,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut, Kennith Tan berkata, kesemua PATI yang ditahan adalah terdiri daripada 53 orang lelaki, 17 wanita dan dua kanak-kanak lelaki warga Indonesia; 27 lelaki warga Bangladesh; 15 lelaki, dua wanita dan seorang kanak-kanak lelaki warga Myanmar.

Menurut beliau lagi, turut ditahan ialah seorang lelaki warga Yemen, seorang lelaki warga Afganistan; 19 lelaki warga Pakistan; dua lelaki warga India; sembilan lelaki dan dua wanita warga Thailand.

“Operasi yang disertai 24 orang pegawai JIM Negeri Sembilan dan 15 orang anggota Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) merupakan kesinambungan operasi sebelum ini yang dijalankan pada Jun lalu melibatkan sebanyak 34 premis di daerah Kuala Pilah dengan jumlah tangkapan seramai 142 orang PATI,” katanya.

Dalam pada itu, ujar beliau, sebanyak 28 borang saman saksi juga dikeluarkan kepada majikan atau penjaga premis untuk hadir ke JIM Negeri Sembilan bagi membantu siasatan.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya