PATI sanggup terjun sungai elak dicekup - Utusan Malaysia

PATI sanggup terjun sungai elak dicekup

SEBAHAGIAN daripada warga asing yang ditahan dalam Op Kutip di tapak perumahan di Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Warga asing sanggup terjun ke dalam sungai dan lari bertempiaran bagi mengelak dicekup anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen negeri dalam Op Kutip di sebuah tapak projek perumahan di Kluang.

Namun, tindakan itu gagal apabila pasukan penguat kuasa ‘sudah bersedia’ dan berjaya memastikan tidak ada yang dapat meloloskan diri.

Pengarah Imigresen negeri, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, dalam operasi antara 10 hingga 11.30 pagi, Jumaat lalu itu, seramai 85 warga asing dan pekerja tempatan diperiksa.

“Daripada jumlah itu, seramai 43 warga asing dan seorang majikan warga tempatan ditahan. Warga asing yang ditahan terdiri daripada 34 lelaki  Bangladesh serta empat wanita dan lima lelaki Indonesia berusia antara 21 hingga 49 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dalam operasi berasingan, Mohd. Rusdi memberitahu, pihaknya menahan enam warga asing dalam Op Sapu di tiga rumah inap di Mersing pada Khamis lalu.

“Seramai 12 warga asing termasuk warga tempatan diperiksa sebelum menahan seorang lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki serta empat wanita warga Indonesia yang berusia antara 25 hingga 54 tahun,” katanya.

Katanya, dua operasi itu dijalankan susulan aduan dan maklumat awam yang diterima menyatakan terdapat sejumlah warga asing bekerja tanpa pas yang sah serta tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah untuk tinggal di negara ini.

Semua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki pas atau permit yang sah untuk berada di negara ini.

Mereka turut disiasat di bawah Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 17(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana tidak mematuhi arahan yang ditetapkan dalam pas.

Bagi seorang lelaki warga tempatan yang juga wakil majikan bagi kontraktor utama tapak perumahan, tindakan diambil di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya