Pasukan kriket remaja dalam kumpulan maut - Utusan Malaysia

Pasukan kriket remaja dalam kumpulan maut

MOHD. IQBAL ALI Kassim Ali (duà dari kanan) dalam sidang akhbar Piala Dunia Kriket Wanita Bawah 19 Tahun 2025 di Akademi Kriket Johor Dato' Dr. Harjit Singh di Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pasukan remaja kebangsaan berdepan laluan berliku apabila diletakkan dalam ‘kumpulan maut’ pada Piala Dunia Kriket Wanita T20 Bawah 19 tahun yang akan diadakan Januari tahun depan.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama-sama juara bertahan, India serta West Indies dan Sri Lanka.

Namun Presiden Persatuan Kriket Malaysia, Md. Iqbal Ali Kassim Ali menegaskan, kejohanan itu merupakan peluang terbaik untuk melihat sejauh mana kemampuan pasukan yang pertama kali menyertai kejohanan bawah 19 tahun tersebut.

Katanya, pasukan telah membuat persiapan secara berfasa sejak awal tahun ini bagi menghadapi kejohanan terbesar itu termasuk mengadakan perlawanan di Thailand sebelum ini.

“Kita diundi dalam kumpulan bersama tiga pasukan yang berada dalam kelompok enam terbaik dunia, kesemuanya pernah bergelar juara dunia di peringkat senior. Bagaimanapun, mungkin ceritanya berbeza kerana ini melibatkan pasukan bawah 19 tahun.

“Pasukan kita tak kurang hebatnya dan mereka juga masih muda, ada yang berusia 16 dan 17 tahun. Pendedahan berdepan pasukan hebat ini akan menjadi batu loncatan buat pasukan menjadi lebih kuat pada tahun yang akan datang,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Malaysia akan menjadi tuan rumah Piala Dunia Kriket Wanita Bawah 19 Tahun selama 15 hari dari 18 Januari hingga 2 Februari tahun depan dengan 41 perlawanan yang melibatkan 16 pasukan akan diadakan di empat venue di Selangor, Johor dan Sarawak dengan Bayuemas Oval di Klang, Selangor akan gelanggang bagi perlawanan Kumpulan A.

Md. Iqbal Ali berkata, sebagai persiapan terakhir, pasukan remaja kebangsaan akan menyertai Piala Asia Kriket Wanita T20 Bawah 19 tahun pada Disember ini sebagai persiapan terakhir yang turut melibatkan pasukan India, Pakistan, Sri Lanka dan Bangladesh.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Kriket Johor, Prof. Faidz Abdul Rahman berkata, kerja membaik pulih padang di Akademi Kriket Johor Dato’ Dr. Harjit Singh dijadualkan bermula pada minggu ini bagi  memastikan keadaan padang berada dalam keadaan baik sebagai venue bagi aksi Kumpulan B melibatkan pasukan England, Pakistan, Ireland dan Amerika Syarikat.

“Semua fasiliti dan kemudahan akan ditambah baik bagi menjaga nama baik negeri Johor selaku tuan rumah bagi kejohanan peringkat antarabangsa ini,” katanya sambil memberitahu padang Kriket Petra Jaya di Kuching akan menjadi venue Kumpulan C (New Zealand, Afrika Selatan, pasukan kelayakan Afrika dan Samoa), manakala Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) YSD Oval di Bangi, Selangor menjadi venue bagi aksi Kumpulan D (Australia, Bangladesh, Kelayakan Asia, dan Scotland). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya