Pasukan khas siasat kes pakar patologi bunuh diri di Lahad Datu - Utusan Malaysia

Pasukan khas siasat kes pakar patologi bunuh diri di Lahad Datu

DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyiasat punca insiden kematian Pakar Perubatan Patologi, Dr. Tay Tien Yaa di Lahad Datu, berkuatkuasa 10 Oktober ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, penubuhan pasukan petugas khas itu selaras dengan pendirian tegas KKM dan tidak bertolak ansur terhadap perlakuan buli di tempat kerja.

Katanya, pasukan petugas khas itu akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Borhan Dollah, yang berpengalaman menyandang pelbagai jawatan utama dalam perkhidmatan awam dengan dianggotai lima ahli bebas bukan anggota KKM.

“Kelima-lima mereka berpengetahuan dan mempunyai kepakaran dalam seperti bidang perubatan, psikiatri, patologi serta kesihatan mental dan perlakuan buli,” katanya dalam kenyataan semalam.

Kelima-lima anggota pasukan petugas khas itu adalah bekas Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Profesor Datuk Dr. Siti Hamisah Tapsir yang pernah memegang jawatan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi dan kini menjawat jawatan Naib Canselor UCSI serta Ketua Pegawai Eksekutif UCSI selepas 33 tahun berkhidmat sebagai penjawat awam.

Anggota kedua adalah bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr. Azman Abu Bakar yang telah berkhidmat dengan KKM selama 35 tahun. Beliau juga pernah menjadi Pakar Perunding, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi skop penyelidikan sistem kesihatan dan kualiti perkhidmatan kesihatan. Terkini beliau merupakan Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Pasukan itu turut dianggotai oleh bekas Penasihat Undang-Undang KKM, Datuk Mohamad Fazin Mahmud yang kini merupakan Ahli Lembaga Pihak Berkuasa Peranti Perubatan.

Selain itu, ia juga dianggotai oleh Profesor Ulung pertama di Malaysia dalam bidang Patologi dan kini menyandang jawatan sebagai Perunding Kanan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Datuk Prof. Ulung Dr. Looi Lai Meng. Beliau merupakan Pakar Patologi berprestij di dunia dengan pengkhususan dalam Patologi Global, Teknologi Inovatif, dan Kanser.

Anggota terakhir adalah Profesor dan Pakar Perunding Kanan (Psikiatri) di Jabatan Psikiatri, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Chan Lai Fong. Beliau memiliki kepakaran dalam bidang pencegahan bunuh diri dan merupakan wakil Malaysia dalam International Association of Suicide Prevention (IASP) sejak 2018.

Beliau kini dilantik sebagai Naib Presiden ke-3 (3rd Vice-President) IASP dari 2021-2026. Kepakarannya dalam bidang pencegahan bunuh diri telah mendapat pengiktirafan peringkat antarabangsa.

Menurut Dr. Dzulkefly, pasukan ini berperanan untuk melaksanakan dan menganalisis input daripada siasatan insiden kematian Pakar Patologi Kimia di Lahad Datu secara khusus serta meneliti budaya kerja di Hospital Lahad Datu.

Katanya, mereka juga akan mengenal pasti dan mengesahkan sama ada wujud perlakuan buli di Hospital Lahad Datu secara umum dan di Jabatan Patologi Hospital Lahad Datu secara khusus.

“Mereka juga perlu mengenal pasti jenis perlakuan buli yang cenderung berlaku di KKM serta faktor dalaman dan luaran yang menyumbang kepada perlakuan tersebut.

“Selain, menyediakan laporan hasil siasatan berkaitan insiden kematian Pakar Perubatan Patologi Kimia di Lahad Datu serta cadangan penambahbaikan bagi mencegah dan menangani perlakuan buli di fasiliti kesihatan dalam masa tiga bulan dari tarikh penubuhan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya