KUALA KRAI: Pasar Besar Kuala Krai yang menjadi nadi kegiatan ekonomi penduduk di sini terbakar awal pagi tadi.
Kebakaran sekitar pukul 1.15 pagi itu menyebabkan 80 peratus premis berkenaan musnah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Nik Ahmad Afsham Nik Pa bagaimanapun berkata, kebakaran itu tidak melibatkan nyawa.
“Kami terima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu kira-kira pukul 1.21 pagi sebelum 25 anggota bersama lima jentera bergegas ke lokasi kejadian.
“Api dapat dikawal kira-kira pukul 2.06 pagi dan berjaya dipadam sepenuhnya pada pukul 3.42 pagi. Operasi tamat kira-kira 5.17 pagi,” katanya.
Nik Ahmad Afsham memberitahu, jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan.-UTUSAN