NEW DELHI: Sepasang warga emas cacat penglihatan di India dilaporkan tinggal bersama anak lelaki mereka yang sudah empat hari meninggal dunia.
Kaluva Ramana, 60, dan Shantikumara Kumari, 65, yang juga tidak boleh bergerak, tidak menyedari mengenai kematian Pramod, 30.
Menurut laporan, pasangan suami isteri ini memanggil anak mereka untuk meminta memberikan makanan dan air selepas kematiannya, tetapi tidak mendapat sebarang jawapan.
Oleh kerana keadaan mereka tidak boleh berjalan dan mempunyai suara yang lemah, pasangan warga emas ini tidak dapat menghubungi jiran untuk mendapatkan bantuan.
Namun, kematian lelaki itu terbongkar selepas jiran menyedari bau busuk yang kuat datang dari rumah di Hydreabad dan menghubungi polis.
Polis mendapati pasangan itu dalam keadaan separuh sedar dan berbuih mulut, duduk di samping mayat anak mereka yang reput, lapor The Economic Times.
Mereka kemudiannya segera diberikan makanan dan air.
Polis menjangkakan Pramod meninggal dunia semasa tidur empat hari sebelumnya selepas dia menghidangkan makanan kepada ibu bapanya, lapor Times of India.
“Suara mereka lemah, yang mungkin menyukarkan jiran mendengar panggilan mereka.
“Kami mengesyaki Pramod mati dalam tidur. Punca sebenar kematian akan diketahui selepas pemeriksaan bedah siasat,” kata jurucakap polis, Surya Nayak.
Polis berkata, Pramod bergelut dengan masalah ketagihan alkohol dan berpisah dengan isteri serta dua anak perempuan mereka.
Mayat lelaki itu dihantar ke hospital untuk bedah siasat bagi mengesahkan tarikh serta punca kematian.
Menurut polis, pasangan warga emas terbabit kini tinggal bersama anak sulung mereka dan sedang menerima sokongan yang diperlukan.– AGENSI