Paras air empangan Kedah semakin meningkat

Paras air empangan Kedah semakin meningkat

Empangan Pedu mencatatkan peningkatan air kepada 49.14 peratus selepas kerap hujan di daerah itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Faktor hujan lebat sejak pertengahan bulan lalu membantu meningkatkan semula kapasiti takungan air di tiga empangan kendalian Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di negeri ini.

Setakat semalam, bacaan air di Empangan Pedu merekodkan 49.14 peratus iaitu peningkatan lebih 10 peratus berbanding 37.66 peratus yang direkodkan pada 18 September lalu.

Data oleh pihak MADA itu menyaksikan jumlah takungan air semasa di Empangan Pedu kini adalah sebanyak 425,850 ekar kaki berbanding 329,500 ekar kaki.

Bagaimanapun, paras air di empangan yang menjadi sumber utama bekalan air bagi ke­gunaan pertanian, domestik dan industri itu masih dikategorikan dalam paras amaran iaitu 60 peratus ke bawah.

Sementara di Empangan Muda, rekod terkini mencatatkan bacaan 77.32 peratus berbanding 23.44 peratus pada tarikh sama yang ketika ini melepasi paras normal.
Bagi Empangan Ahning pula, takungan air semasa adalah 90.31 peratus yang bersamaan 200,771 ekar kaki.

“Kawasan tadahan di ketiga-tiga empangan ini menerima hujan yang tinggi bermula 12 September lalu dan berterusan selama beberapa hari sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan takungan air semasa bagi ketiga-tiga empangan itu kini kira-kira 59 peratus.

“Sebagai rekod, jumlah hujan dalam tempoh enam hari pertama sehingga 17 September lalu adalah sebanyak 197 milimeter (mm) di Empangan Pedu, Empangan Muda (293mm) dan Empangan Ahning (157mm).

“Hujan ini telah menyebabkan berlakunya peningkatan jumlah takungan di ketiga-tiga empangan,” kata jurucakap MADA di sini, hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, Empangan Pedu menghampiri paras bahaya sejak beberapa bulan lalu akibat musim kering dan fenomena kemarau berpanjangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya