Pakar saraf OKU terima anugerah khas TVETec Malaysia - Utusan Malaysia

Pakar saraf OKU terima anugerah khas TVETec Malaysia

HASIDI Hassan dan Siti Hadijah menerima anugerah lhas pada Majlis Konvokesyen Kemahiran dan Keusahawanan TVETec Malaysia yang diadakan di USIM, Nilai, Seremban hari ini.-UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Berstatus sebagai orang kurang upaya (OKU) penglihatan, tidak menghalang dua orang rakan untuk berjaya dalam menjalankan perniagaan dalam bidang urutan terapi saraf.

Kejayaan rakan kongsi itu, Hasidi Hassan, 56, dan Siti Hadijah Abu Bakar 49, menerusi 20 tahun pengoperasian pusat urut saraf yang diusahakan, membolehkan mereka menerima anugerah khas pada Majlis Konvokesyen Kemahiran dan Keusahawanan, Pusat Kecemerlangan TVET Malaysia (TVETec Malaysia) yang diadakan di Nilai di sini, hari ini.

Penganugerahan itu adalah atas pencapaian cemerlang dan sumbangan signifikan kedua-duanya dalam bidang terapi saraf serta dalam bidang keusahawanan sekali gus memberikan inspirasi kepada masyarakat.

Hasidi berkata, penganugerahan itu memberikan lebih bersemangat buat dirinya bagi menyumbang khidmat kepada komuniti.

“Saya mulakan perniagaan urutan terapi saraf ini selepas melihat kepada potensinya dan kemudian mempelajari teknik-teknik asas seterusnya mendapatkan ilmu kemahiran lanjut dari Beijing Massage Hospital pada tahun 2004.

“Selama hampir 30 tahun saya berkecimpung dalam bidang ini dan Alhamdulillah saya mampu mencapai kejayaan seperti mana yang diterima pada hari ini,” katanya kepada pemberita pada Majlis Konvokesyen Kemahiran dan Keusahawanan TVETec Malaysia yang diadakan di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai di sini, hari ini.

Seramai 300 orang graduan TVETec yang telah berjaya menamatkan program kemahiran dan keusahawanan yang diiktiraf diraikan pada majlis konvokesyen sulung yang telah dirasmikan oleh Pengerusi TVETec Malaysia, Prof. Datuk Dr Musa Ahmad.

Sementara itu, Siti Hadijah berkata, pekerjaan yang dikendalikanya itu sangat berkait rapat dengan stamina.

“Pada awal penglibatan, saya hanya mempelajari teknik urutan secara umum sahaja namun lama kelamaan, apabila pelajari dari yang pakar baru saya ada keyakinan untuk mengurut mengikut kaedah yang betul bagi pemeliharaan kesihatan dan penyembuhan penyakit.

“Dalam bidang urutan juga memerlukan stamina namun sebenarnya apabila kita mempelajari teknik yang betul ia tidak menggunakan tenaga yang kuat namun pelanggan boleh merasai hasil daripada sentuhan urutan yang diberikan,” katanya yang merupakan bekas penerima Anugerah Olahragawati Negeri Pahang pada tahun 2001.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya