Pahang rancang pelaburan pusat data - Utusan Malaysia

Pahang rancang pelaburan pusat data

MOHAMAD NIZAR Najib (tiga dari kiri), mewakili Menteri Besar merasmikan Program Jelajah Saya Digital (JSD)@Kuantan dan Pahang Teknologi Revolusi Expo (TReX) 2024 di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan Pahang merancang menarik pelaburan industri pusat data dalam usaha memperkasakan infrastruktur digital di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi, Inovasi dan Alam Sekitar negeri, Datuk Mohamad Nizar Najib berkata, industri berkenaan perlu diceburi kerana ia berpotensi memberi limpahan dan impak berganda kepada ekonomi negeri.

“Kami beranggapan mampu menarik sehingga 1,000 megawatt pelaburan pusat data supaya kita tidak ketinggalan daripada infrastruktur digital.

“Kita akan lihat beberapa cadangan pelaburan daripada syarikat pusat data, tetapi penglibatan kerajaan Pahang mungkin tidak setinggi di Lembah Klang dan Johor di mana mereka memiliki antara 40 hingga 50 pusat bagi setiap negeri.

“Ia disebabkan kita tidak mahu bekalan air dan elektrik untuk kegunaan rakyat terjejas di mana difahamkan pusat data ini banyak menggunakan dua tenaga itu selain keperluan mempunyai jalur fiber optik yang baik,” katanya selepas merasmikan Jelajah Saya Digital (JSD)@Kuantan dan Pahang Teknologi Revolusi Expo (TReX) 2024 di sini.

Program tersebut salah satu usaha kerajaan melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk memperkasakan rakyat dengan kemahiran digital di samping membantu meningkatkan pendapatan dalam perniagaan, sekali gus memacu pembangunan ekonomi digital negara.

Mohamad Nizar berkata pihaknya sudah mengenal pasti beberapa lokasi yang dilihat berupaya memenuhi syarat dalam membangunkan pusat data antaranya kawasan Kuantan, Gambang dan Bentong.

“Pembangunan pusat data ini perlu seimbang iaitu dengan jaminan rakyat masih mendapat kemudahan asas yang ada,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut meminta MDEC membantu menarik minat lebih ramai pekerja nomad digital untuk datang ke Pahang bagi menjalankan tugas mereka.

“Sama ada individu itu pekerja nomad digital, usahawan digital, blogger, tiktoker atau youtuber,  mereka ini boleh bergerak dan buat kerja dari jarak jauh.

“Terdapat pelbagai lokasi menarik di Pahang seperti Cameron Highlands, Bukit Fraser ataupun Janda Baik di Bentong yang mereka boleh datang untuk bekerja dan secara tidak langsung ia memacu ekonomi negeri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Korporat MDEC, Amiruddin Abdul Shukor berkata, pihaknya sedia membantu kerajaan Pahang membawa masuk pelaburan industri pusat data kerana ia merupakan salah satu skop di bawah agensi berkenaan.

“Bila terkait pelaburan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang akan ke hadapan tetapi pihak MDEC perlu membantu kerana ia melibatkan aktiviti dan ekosistem kami.

“Antara kerjasama yang sudah dijayakan ialah pusat data hijau di Sedenak, Johor dan terbaharu kita diminta oleh Premier Sarawak untuk membantu membangunkan pusat data di sana,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN