MELAKA: Orang ramai menyambut baik inisiatif kaunter perkhidmatan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan di Melaka beroperasi pada waktu rehat yang bermula hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, majoriti yang ditemui memberikan reaksi positif kerana inisiatif itu memudahkan urusan mereka, terutama pada hari bekerja.
“Seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), mereka telah membuka kaunter waktu rehat sebelum ini. Tetapi kali ini mereka akan membuka lebih banyak kaunter selepas pengumuman dibuat.
“Bagi kaunter di klinik kesihatan (KK) di negeri ini juga dibuka pada waktu rehat dan semuanya berjalan dengan lancar,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan di Pejabat KWSP dan Pejabat Perkeso, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Sebelum ini, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh mengumumkan bahawa kaunter perkhidmatan pelbagai agensi di bawah kerajaan negeri dan Persekutuan tidak akan ditutup pada waktu rehat, sebaliknya beroperasi seperti biasa bermula 1 Oktober.
Dalam pada itu, pekerja swasta, Azran Abdul Talib, 54, berkata, ia memberi peluang kepada mereka yang bekerja dapat membuat urusan pada waktu rehat, tanpa perlu mengambil cuti.
“Saya bekerja, jika hendak buat urusan di kaunter pada sebelah pagi mungkin terpaksa menunggu lama kerana kehadiran orang ramai yang berpusu-pusu. Tetapi bila diumumkan waktu rehat semua kaunter tidak ditutup, bolehlah orang yang bekerja seperti saya membuat urusan serta tidak perlu menunggu lama,” katanya.
Sementara itu, Tee Huey Wah, 47, berkata, berurusan pada waktu rehat secara tidak langsung dapat mengurangkan kesesakan orang ramai pada sebelah pagi.
“Hari ini saya membuat urusan di KWSP, pada waktu rehat orang pun tidak ramai, tidak perlu saya menunggu terlalu lama,” katanya. – UTUSAN