Galakkan pelajar Melayu pelajari bahasa Tamil dan Mandarin

Galakkan pelajar Melayu pelajari bahasa Tamil dan Mandarin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pengajaran dan pembelajaran bahasa Mandarin dan Tamil bermula sekolah kebangsaan dan disambung peringkat menengah penting bagi melahirkan individu dalam sebuah keluarga Melayu yang mahir serta fasih bahasa tambahan berkenaan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, selain pembelajaran wajib bahasa Melayu dan Inggeris, murid dan pelajar Melayu mesti diberikan peluang serta digalakkan mempelajari bahasa Mandarin dan Tamil.

“Kita menyokong dan memuji kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini yang menyatakan murid wajar diberikan ruang menyambung pelajaran bahasa Cina dan Tamil di peringkat sekolah menengah. Ini suatu yang cukup baik.

“Ia membuktikan komitmen dan kesungguhan Perdana Menteri dan kerajaan Perpaduan Malaysia Madani ketika ini dalam membentuk identiti sebuah negara bangsa dengan melahirkan generasi muda yang mampu bertutur dan fasih bukan sahaja bahasa Melayu malah Tamil dan Mandarin,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Ketika berucap merasmikan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Heawood di Sungai Siput, Perak kelmarin, Anwar dilaporkan berkata, kerajaan bersetuju supaya ruang tambahan bagi latihan bahasa Cina dan Tamil diperbanyakkan di institusi perguruan, selain bahasa Kebangsaan.

Perdana Menteri turut dilaporkan sebagai berkata, murid wajar diberikan ruang menyambung pelajaran bahasa Cina dan Tamil di peringkat sekolah menengah.

Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar berkata, sebagai sebuah bangsa yang sedang mengorak langkah menuju kepada status negara maju, pengetahuan dalam bahasa-bahasa lain seperti Mandarin dan Tamil merupakan aset dan bonus yang berharga kepada para pelajar.

“Memperkenalkan bahasa Mandarin dan Tamil bermula di sekolah rendah boleh memberi ruang kepada pelbagai etnik di Malaysia mempelajari budaya dan bahasa masyarakat Cina dan India.

“Pada akhir persekolahan kelak kesemua murid dan pelajar terutama dalam keluarga Melayu mampu sekurang-kurangnya memahami dan bertutur dalam bahasa Mandarin dan Tamil,” ujarnya.

Jelasnya, penguasaan bahasa tambahan seperti Tamil dan Mandarin akan menjadikan seseorang pelajar itu lebih versatil apabila keluar daripada alam persekolahan dan memasuki dunia pekerjaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya