GUA MUSANG: Kira-kira 200 penduduk Orang Asli di Pos Belatim di sini menghidupkan unggun api dan bergilir-gilir berjaga waktu malam bagi menghalau serangan gajah liar di kawasan kampung mereka sejak sebulan lalu.
Terbaharu, mereka mendakwa, gajah liar dikesan mula memasuki kawasan Kampung Cacuh pada pukul 2 pagi, 11 September lalu dan merosakkan kebun ubi kayu serta pisang di beberapa kampung seperti Kampung Chemal, Kampung Kenben dan Kampung Kajak.
Penduduk Kampung Cacuh, Rahimi Dolah, 45, pula berkata, seramai 50 penduduk terpaksa mengambil tugas berjaga sepanjang malam kerana bimbang kejadian sama berulang kembali.
Menurutnya, kebiasaan gajah akan mula mencari makanan pada waktu petang sehingga menjelang malam.
“Kami berpakat berkumpul dan berjaga di Kampung Cacuh serta menghidupkan unggun api bagi menghalau gajah itu.
“Kami ketakutan namun terpaksa mengambil tindakan kerana gajah ini semakin berani mendekati kawasan kampung.
“Kami juga telah melaporkan kejadian ini kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan),” katanya.
Seorang penduduk Kampung Kenben, Sumyal Alang, 32, berkata, semua serangan gajah itu berjarak kira-kira dua kilometer antara satu sama lain dan dalam kejadian terbaharu pada 5 Oktober lalu rumahnya telah dirosakkan gajah liar berkenaan.
Katanya, penduduk percaya gajah itu adalah gajah sama yang mengelilingi kampung dan kelaparan mencari makanan.
“Saya rasa itu adalah gajah sama yang sedang kelaparan mencari makanan sehingga meruntuhkan dinding rumah saya. Ketika kejadian kami semua tidak berada di rumah kerana sedang menunggu buah durian di Kampung Cekrok.
“Saya telah dimaklumkan oleh seorang rakan tentang kejadian lalu bergegas pulang ke rumah kira-kira pukul 2 pagi dan mendapati dinding di bahagian dapur roboh. Bekalan beras dan kacang tanah yang disimpan di rumah untuk digunakan menjelang musim tengkujuh juga berselerak,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani mengesahkan telah menerima laporan berkenaan ancaman haiwan liar di pos tersebut.
Katanya, beliau menasihatkan penduduk agar menjarakkan diri atau segera berlindung sekiranya terserempak dengan haiwan berkenaan serta tidak melakukan provokasi terhadap gajah liar itu.