Orang Asli dakwa diperas ugut anggota penguatkuasa, 80 tandan sawit dicuri - Utusan Malaysia

Orang Asli dakwa diperas ugut anggota penguatkuasa, 80 tandan sawit dicuri

SEORANG pekebun sawit masyarakat Orang Asli di Kampung Kolek, Mukim Hulu Kuantan di Kuantan, Pahang mendakwa dinafikan hak dan diperas ugut pihak berkuasa negeri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang pekebun sawit masyarakat Orang Asli di Kampung Kolek, Mukim Hulu Kuantan di sini mendakwa diperas ugut pihak berkuasa negeri dan dinafikan hak mengusahakan kebun kelapa sawit atas tanah kerajaan di situ.

Pekebun berkenaan, Mahadi Moi, 47, mendakwa, pada pukul 4.30 petang semalam dia dan rakannya, Desa Jawi didatangai enam individu tidak dikenali menaiki kenderaan jenis pacuan empat roda ketika berada di kebun kelapa sawit yang diusahakannya di Kampung Kolek.

Dakwanya, seorang daripada mereka menunjukkan kad kuasa dan memperkenalkan diri daripada Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) dan seorang lagi memakai baju berlogo Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

“Saya cuba beredar tapi mereka menghalang saya. Mereka memarahi saya supaya tidak lagi mengusahakan kawasan kebun saya dan memeras ugut akan menangkap saya.

“Mereka juga minta saya menyerahkan buah kelapa sawit, mereka mencuri dan memunggah 80 tandan buah sawit milik saya atas pacuan empat roda dan memberitahu yang saya telah menduduki tanah kerajaan secara tidak sah.

“Saya menunjukkan dokumen atas nama saya telah mengemukakan permohonan kelulusan lesen pendudukan sementara (LPS) kepada Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan di kawasan tersebut,” dakwanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mahadi mendakwa, dia juga menjelaskan individu Orang Asli mempunyai hak dan keistimewaan seperti terkandung dalam Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) untuk menduduki tanah kerajaan seperti mana peruntukan undang-undang tergubal mengikut seksyen 6, 7 dan 8 akta tersebut.

“Jelas dinyatakan menerusi akta itu pihak berkuasa negeri boleh memberikan hak menduduki mana-mana tanah yang bukan hak milik orang kepada mana-mana individu, anggota mana-mana keluarga Orang Asli atau mana-mana masyarakat Orang Asli tanpa perlu membayar sewa ataupun tertakluk kepada apa-apa syarat.

“Saya juga menegaskan mempunyai hak penggunaan sebagaimana dinyatakan dalam seksyen 44 dan seksyen 45 Kanun Tanah Negara dan juga dikecualikan daripada memiliki lesen untuk mengutip hasil hutan, dikecualikan daripada dikenakan royalti untuk tujuan menyara diri, keluarga, kehidupan dan bukanlah hak untuk memiliki tanah tersebut,” dakwanya.

Beliau mendakwa, individu terbabit tidak mempedulikan apa dinyatakannya sebaliknya mengugut akan masuk lagi ke kebun kelapa sawit yang diusahakannya sekiranya dia tidak meninggalkan kawasan berkenaan.

“Jumlah kerugian dianggarkan berjumlah RM600. Mereka menafikan hak-hak saya dan hal ini bertentangan dengan prinsip undang-undang,” dakwanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN