KOTA BHARU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan menahan 30 pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi Ops Kutip selama dua hari di sekitar bandar ini dan Pasir Puteh bermula kelmarin hingga semalam.
Timbalan Pengarah Imigresen Negeri (Pengurusan) Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman berkata, pemeriksaan terhadap warga asing di sekitar Kota Bharu melibatkan premis Pasaraya AEON Mall, kedai serbaneka di Jalan Kuala Krai dan bengkel kerja besi di Kampung Seberang Pasir Mas Salor serta kedai makan di Melor.
“Sementara di Pasir Puteh pula, ia melibatkan pemeriksaan di beberapa buah rumah di Kampung Permatang Sungkai. Menerusi operasi itu pihaknya berjaya menahan warganegara Bangladesh, Myanmar, India, Pakistan dan Thailand.
“Daripada jumlah itu, warganegara Bangladesh antara yang paling ramai ditahan iaitu 17 orang, diikuti Thailand (9), Pakistan (2) dan masing-masing satu Myanmar dan India.
“Kesemua warga asing itu ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Nik Akhtarulhaq memberitahu, JIM Kelantan menggesa supaya orang ramai tampil menyalurkan maklumat tentang PATI atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang. –UTUSAN