OP Timber: Anggota JPJ berpakaian preman berjaya sita lori balak, kargo di Gua Musang

OP Timber: Anggota JPJ berpakaian preman berjaya sita lori balak, kargo di Gua Musang

MOHD. Misuari Abdullah (kanan) melihat treler balak yang perlu melalui proses timbang menerusi Op Timber di Stesen Penguatkuasa (SPK) Mentara, hari ini.UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menyamar dengan berpakaian preman berhasil apabila dapat menyita sebuah kenderaan berat dan menahan lapan kenderaan lebih muatan menerusi Op Timber di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis di sini hari ini. 

Pengarahnya, Mohd. Misuari Abdullah berkata, kenderaan yang terdiri daripada tiga buah lori balak dan enam buah lori kargo itu didapati membawa muatan berlebihan selepas diarah timbang di Stesen Penguatkuasa (SPK) Mentara hari ini. 

Menurutnya, terdahulu JPJ Kelantan telah menjalankan risikan selama seminggu selepas aduan dan laporan media berkenaan pergerakan kenderaan berat di waktu puncak sesi persekolahan pada 13 September lalu. 

“Sebuah kenderaan telah disita di bawah Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 kerana membawa muatan sebanyak 75.58 peratus. Kenderaan itu akan dilucut hak dengan kuasa mahkamah di bawah akta yang sama. 

“Lapan buah kenderaan yang membawa lebihan muatan melebihi 35 peratus akan dituduh di mahkamah mengikut Kaedah-kaedah Pembinaan dan Penggunaan (C&U) di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya kepada pemberita di SPK Mentara di sini petang tadi.

Mohd. Misuari memberitahu, JPJ menyarankan kepada penguasaha lori dan pemandu kenderaan berat supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya semasa menggunakan kenderaan di atas jalan raya dengan mengutamakan kepentingan awam terutamanya di waktu puncak persekolahan. 

Katanya, pihak JPJ Kelantan sentiasa menjalankan operasi bagi memastikan jalan raya selamat untuk semua pengguna.

“Ia merupakan satu pengajaran, amaran kepada pihak pengusaha supaya mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. JPJ tidak akan teragak-agak untuk melucut hak kenderaan di mahkamah supaya perkara ini dapat dibendung sepenuhnya,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Misuari berkata, JPJ Kelantan juga menjalankan penguatkuasaan ke atas kenderaan perdagangan sepanjang bulan ini. 

Katanya, sepanjang operasi dijalankan, pihaknya telah menyita sebuah kenderaan lori treler kargo yang menggunakan nombor pendaftaran palsu dan mempamer lesen kenderaan motor (LKM) kenderaan lain. 

“Pemandu kenderaan tersebut juga tidak memiliki lesen memandu dan lesen vokasional yang sah,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya