JOHOR BAHRU: Seorang suri rumah, Norfarahain Abd. Manap, 35, buntu mengumpul duit untuk mendapatkan bekalan ubat melawan sel kanser yang dihidapinya berjumlah RM220,0000.
Dia yang menghidap kanser paru-paru tahap dua sejak 2022 berkata, keadaan tubuhnya semakin lemah dan kerap sesak nafas setelah terputus bekalan ubat, iaitu suntikan ‘pembrolizumab’ kira-kira dua bulan lalu.
Jika tidak mengambil ubat itu, sel kanser tersebut berisiko tinggi merebak ke organ lain dan dia juga terpaksa menangguhkan pemeriksaan Imbasan Tomografi Pancaran Positron (PET Scan) di sebuah hospital swasta kerana faktor kewangan.
“Kami bukan memiliki harta, rumah yang kami tinggal ini juga disediakan oleh majikan suami kerana bersimpati dengan keadaan saya kerana tidak sesuai tinggal di kuarters.
“Nak kumpul RM2,000 untuk menjalani PET Scan pun tak mampu, inikan pula untuk mendapatkan bekalan ubat lawan sel tumor berjumlah RM220,0000,” katanya ketika ditemui di Taman Pelangi, di sini hari ini.
Norfarahain berkata, pada masa ini dia menjalani kemoterapi kitaran keempat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) selain mendapatkan suntikan bagi meningkatkan sel darah putih.
Walaupun perit ujian yang dilalui, suri rumah itu mengakui perlu kuat semangat untuk anak-anaknya selain berdoa semoga rawatannya melawan kanser lancar.
“Saya kuatkan semangat demi anak-anak kerana memikirkan masa depan mereka, mereka amat memerlukan didikan ibu. Saya juga bersyukur kerana suami amat mengambil berat walaupun tidak mampu memberi penjagaan sepenuhnya kerana tuntutan kerja sebagai anggota tentera,” katanya.
Menurutnya, sebelum ini dia memperoleh sebahagian bekalan perubatan yang diperlukan hasil sumbangan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Kementerian Pertahanan.
“Sebelum ini saya hanya sesekali menggunakan mesin oksigen namun kini hampir setiap petang dan malam saya terpaksa bergantung dengan mesin oksigen kerana kerap sesak nafas. Pendapatan suami kira-kira RM2,000 dan perlu menanggung persekolahan anak serta kos pembelian ubat lain termasuk ubat cairkan darah, susu khas disyorkan doktor selain vitamin,” katanya.
Orang ramai yang ingin meringankan beban Norfarahain boleh berbuat menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank miliknya bernombor 162786154316 atau menghubunginya menerusi talian 011-6139 9736. – UTUSAN