KUALA TERENGGANU: Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa tahun ini, Nor Hidayah Abdul Rahman, 33, berhasrat untuk membuka kelas tarannum dan tahsin al-Quran di Terengganu bagi melahirkan lebih ramai pelapis muda untuk memartabatkan kitab suci itu.
Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, kemenangan yang diraih baru-baru ini menguatkan lagi motivasinya untuk merealisasikan impiannya itu.
Nor Hidayah yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Tadbir di Yayasan Islam Terengganu berkata, generasi muda perlu digalakkan untuk terus mendalami pelbagai cabang al-Quran untuk dijadikan panduan dalam berdepan hidup yang semakin mencabar ketika ini.
“Insya Allah saya akan memanfaatkan ilmu yang ada untuk terus berkongsi dengan orang ramai yang berminat mendalami al- Quran,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Dalam pertandingan yang diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) itu, Nor Hidayah muncul johan selepas mengumpul markah 91.76 peratus, diikuti peserta Filipina Raihana Ambangala di tempat kedua (90.26 peratus) dan Syamimi Assahira dari Indonesia di tempat ketiga (89.46 peratus).
Muhammad Husaini Mahmur juga dari Malaysia diumumkan sebagai pemenang dalam kategori qari selepas meraih markah 95.71 peratus, manakala Abdur Rasheed dari Pakistan di tempat kedua (93.59 peratus) dan di tempat ketiga ialah Wahyu Andi Saputra dari Indonesia (92.09 peratus).