JERANTUT: Ikan baung ekor merah atau nama saintifiknya ‘Hemibagrus wyckioides seberat 25 kilogram (kg) hasil tangkapan nelayan sungai, Mohd Ismaiza Abdullah Zawawi, 40, menambat hati pengunjung yang berada di jeti Kampung Kuala Tahan dekat sini.
Mohd. Ismaiza berkata, selepas menangkap ikan pemangsa tersebut dia terus membawanya menggunakan perahu ke jeti Kampung Kuala Tahan yang menjadi persinggahan pengunjung untuk menaiki bot penambang menyeberangi Sungai Tembeling ke Taman Negara.
“Hasrat saya untuk menunjukkan ikan pemangsa sebesar manusia ini yang jarang atau belum dilihat oleh pengunjung ke sini dan bolehlah mereka memperoleh pengetahuan serta pengalaman pertama di sini selain melihat keindahan alam sekitar Taman Negara.
“Ramai pengunjung berkerumun untuk melihat lebih dekat ikan baung ekor merah yang sebenarnya bukan berasal dari habitat negara ini dan kini mula banyak membiak di Sungai Tembeling,” katannya.
Menurut Mohd. Ismaiza, dia sudah menangkap dua ikan pemangsa tersebut yang masing-masing seberat 17 dan 16kg.
Katanya, dia cuma mencongak dengan memasang taut di sebatang pokok berdekatan tebing Sungai Tembeling untuk menangkap ikan patin kelah, lawang, temoleh dan spesies untuk dijual selain makanan untuk keluarga.
“Seperti biasa taut dipasang pada sebelah petang dengan menggunakan umpan anak ikan keli dan saya kembali semula ke sungai ini untuk melihat taut ini sambil berharap ada ikan liar lain yang boleh dijadikan juadah sekeluarga dan sekiranya lebih tangkapan boleh dijual.
“Setiba di lokasi taut dipasang pada pagi ini, saya dapati air berkocak dengan kuat dan nampak seekor ikan bersaiz besar,” katanya.
Mohd Ismaiza berkata, ikan baung ekor merah itu sering dijual pada harga RM40 hingga RM45 bagi setiap satu kilogram.