Utusan Malaysia

Negeri Sembilan jadikan Kejohanan Piala Tun Abdul Razak bentuk pasukan mantap

PARA pemain Negeri Sembilan bersama G. Kavin Kartik (dua dari kanan), S. Prasath (kiri) dan pengurus pasukan, Raja Zuhari Raja Idris (kanan) bergambar sebelum perlawanan persahabatan dengan Pulau Pinang di Seremban semalam.-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pasukan hoki Negeri Sembilan akan menggunakan peluang bersaing dalam Kejohanan Hoki TNB Piala Tun Abdul Razak 2024 yang bermula hari ini untuk mengukuhkan keupayaan dan meraih sebanyak mungkin pengalaman.

Ketua jurulatih, G. Kavin Kartik berkata, untuk maksud itu, seramai 11 pemain pasukan itu akan terdiri daripada mereka yang berusia bawah 20 tahun yang mempunyai pengalaman bermain untuk Negeri Sembilan sejak berusia 12 tahun.

Beliau yang akan dibantu oleh penolong jurulatih, S. Parasath berkata, pendedahan kepada para pemain muda penting sebagai persediaan kepada Negeri Sembilan bersaing pada kejohanan akan datang seperti Sukan Malaysia (Sukma).

“Penyertaan kami kali ini lebih tertumpu kepada membentuk pasukan Negeri Sembilan yang mantap untuk kejohanan datang kerana semua pemain berasal dari negeri ini.

“Sebab itu, kami akan memberi saingan sengit dalam Piala Razak tahun ini walaupun diletakkan bersama pasukan yang dianggap kuat,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas perlawanan persahabatan bersama pasukan Piala Razak Pulau Pinang di Stadium Hoki Seremban 2 di sini.

Tambahnya, baki pemain pasukan itu ialah lima pemain berusia 20-an dan dua pemain berusia 30 tahun ke atas.

Kejohanan kali ke-62 untuk kategori lelaki dan kesembilan untuk kategori wanita itu membuka tirai mulai mulai hari ini hingga 12 Oktober ini di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru. 

Negeri Sembilan diletakkan dalam kumpulan B bersama Melaka, Perak, PDRM, ATM, Terengganu dan Sabah. Negeri Sembilan akan turun menentang PDRM dalam perlawanan pertama kedua-dua pasukan pada pukul 3 petang.

Pasukan itu mempertaruhkan ketua pasukan kebangsaan, Muhammad Marhan Mohd. Jalil untuk membawa cabaran dalam kejohanan tersebut.

Kavin Kartik memberitahu, pihaknya puas hati dengan kemampuan ditunjukkan para pemain dalam dua perlawanan persahabatan baru-baru ini.

Dalam perlawanan itu, jelasnya, Negeri Sembilan telah menewaskan Pulau Pinang, 4-2, tetapi tewas kepada Selangor, 1-2. –UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya