Negeri Sembilan berpotensi jadi hab utama industri semikonduktor - Utusan Malaysia

Negeri Sembilan berpotensi jadi hab utama industri semikonduktor

AMINUDDIN Harun (empat dari kiri) ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Negeri Sembilan Semiconductor Valley, di Seremban semalam.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Negeri Sembilan berpotensi besar menjadi antara hab utama industri semikonduktor di negara ini berikutan kelebihannya yang berhampiran Lembah Klang dan pintu masuk utama negara iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta Pelabuhan Klang.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sehubungan itu, Negeri Sembilan Semiconductor Valley atau lebih dikenali sebagai NSSV dirangka pembangunannya di negeri ini dengan fokus kepada industri semikonduktor.

Menurutnya, ipembangunan berkenaan adalah bagi meningkatkan penglibatan Negeri Sembilan dalam industri berkenaan seiring dengan strategi dan dasar kerajaan yang dirangka khususnya di bawah Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).

“Strategi ini adalah bertepatan dengan perkembangan industri semikonduktor di Malaysia yang terus berkembang pesat pada 2024 untuk memastikan negara kekal kompetitif di peringkat global. 

“Malaysia kini merupakan pengeksport semikonduktor keenam terbesar di dunia dan menguasai 13 peratus daripada pasaran global dalam perkhidmatan pembungkusan, pemasangan, dan ujian cip semikonduktor,” katanya pada Majlis Pecah Tanah NSSV di sini, semalam.

Tapak projek NSSV terletak di selatan Kawasan Perindustrian Tuanku Jaafar dengan matlamat projek berkenaan adalah untuk membangunkan tanah seluas kira-kira 339 hektar menjadi taman perindustrian berprestasi tinggi.

Jelas Aminuddin lagi, beberapa syarikat utama dalam sektor semikonduktor juga dilihat telah lama bertapak di negeri ini.

Menurutnya, senario berkenaan membuktikan kepercayaan syarikat utama dunia dalam sektor semikonduktor untuk melabur di negara ini khususnya di Negeri Sembilan.

“Pembangunan NSSV dilihat mampu menjadi katalis kepada pembangunan ekosistem semikonduktor yang inklusif dengan integrasi syarikat kecil dan sederhana (SME) kedalam rantaian bekalan seterusnya merangsang keseluruhan industri di Negeri Sembilan. 

“Tidak mustahil lebih banyak kawasan industri semikonduktor baharu yang akan dibuka pada masa hadapan. 

“Pada masa ini, NSSV telah mula menarik minat beberapa syarikat untuk melabur di kawasan ini dan saya yakin pembangunan NSSV mampu menawarkan prospek kerjaya yang berkualiti kepada tenaga kerja tempatan yang berkemahiran dan meningkatkan taraf hidup penduduk setempat,” tambah beliau.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya