KANGAR: Meskipun baru berusia sembilan tahun dengan terpaksa bersaing dengan rata-rata pencabar berusia 10 tahun namun tidak menghalang kanak-kanak itu mencipta kejayaan cemerlang dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Perlis Cahya Mata Sarawak Super Series 5 di Kompleks Tuanku Syed Putra di sini, hari ini.
Nayla Kamelia Mohd. Razif berjaya muncul juara dengan mengatasi 32 pencabar lain bagi kategori lompat jauh bawah 10 tahun dengan lompatan sejauh 3.22 meter.
Murid dari Sekolah Rendah Agama Integrasi Datuk Mufti Yusof Sahabudin, Shah Alam, itu juga cemerlang menduduki tempat ketiga bagi acara 80 meter bawah 10 tahun.
Anak sulung daripada tiga beradik itu mula aktif dalam sukan olahraga sejak awal tahun ini dan mengecapi pelbagai kejayaan dalam beberapa kejohanan yang disertai sebelum ini.
Nayla Kamelia berkata, dia bermula aktif dengan aktiviti basikal imbang sejak berusia empat tahun dan seterusnya menyertai sukan olahraga tersebut.
Katanya, dia dilatih oleh ayahnya selain menyertai kelab SSB Running, Selangor bagi memantapkan diri dalam sukan itu.
“Setiap hari saya berlatih dengan ayah dan apabila kejohanan semakin hampir, saya akan bersama berlatih di kelab. Setakat ini, sudah enam kejohanan disertai dan sentiasa berada dalam kedudukan tiga terbaik,” katanya.
Sementara itu, bapa Nayla Kamelia, Mohd Razif Ibrahim,38, berkata, Nayla menunjukkan minat dan mempunyai potensi besar dalam sukan olahraga.
Katanya, jika terus digilap tidak mustahil akan terus menyinar pada masa depan.
“Saya sentiasa menyokong penuh minat Nayla dan akan melatihnya setiap hari untuk kejohanan-kejohanan akan datang.
“Saya melihat dia (Nayla) memberi saingan cukup sengit meskipun terpaksa bersaing dengan peserta lain yang lebih tinggi khususnya dalam acara larian.
“Kejohanan ini juga menjadi platform terbaik termasuk kanak-kanak ini dalam mempamerkan bakat dan menjadi medan mencungkil bakat baharu di peringkat akar umbi,” katanya.-UTUSAN