Nasib Bung Moktar, Zizie Izette diketahui 18 November

Nasib Bung Moktar, Zizie Izette diketahui 18 November

BUNG Moktar Radin dan Zizie Izette A. Samad.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad akan mengetahui nasib mereka sama ada kekal bebas atau perlu membela diri atas tiga tuduhan berkaitan rasuah pada 18 November ini.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama-sama Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Noorin Badaruddin menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujah ringkas pihak-pihak terlibat.

“Mahkamah merasai hujahan bertulis yang difailkan adalah mencukupi untuk kami membuat analisa terhadap rayuan hari ini (semalam) jadi tidak perlu sebarang hujahan tambahan kerana ia hanya akan memanjangkan cerita. Mahkamah akan memberikan tarikh keputusan iaitu 18 November ini. Kes ini merupakan kes berkepentingan awam (public interest) dan perlu diselesaikan segera,” ujar hakim Ahmad Zaidi.

Pihak pendakwaan memfailkan rayuan pada 18 September lalu selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepaskan dan membebaskan Bung Moktar dan Zizie daripada tiga tuduhan berkaitan rasuah itu.

Mengikut pertuduhan, Bung Moktar yang ketika itu merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra didakwa bagi dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah melebihi RM2.4 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang pada 12 Jun 2015.

Bung Moktar turut didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar atas nama isterinya di tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette didakwa bersubahat dengan beliau melakukan perbuatan itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

Suapan itu didakwa diberikan sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra supaya melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Sebelum ini, pihak pendakwaan menyenaraikan tujuh alasan kenapa keputusan lepas bebas Bung Moktar dan isterinya daripada pertuduhan-pertuduhan rasuah itu diketepikan dan pasangan itu dipanggil membela diri sebagaimana yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 2 September 2022.

Antara alasan yang dikemukakan ialah Mahkamah Tinggi terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta dalam menjalankan bidang kuasa semakan apabila membebaskan pasangan terbabit, selepas Mahkamah Sesyen memberi penilaian maksimum terhadap keterangan ketika kes pendakwaan.

Pendakwaan turut menyatakan Mahkamah Tinggi terkhi­laf apabila tidak merujuk alasan penghakiman penuh dan rekod prosiding Mahkamah Sesyen mengenai keterangan diberikan saksi ke-24 dan ke-25 pendakwaan (SP24 serta SP25) iaitu Madhi dan Norhaili.

Selain itu, pendakwaan menyatakan Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila bergantung sepenuhnya pada keputusan lisan prima facie oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob di akhir kes pendakwaan tanpa menilai alasan bertulis penuh hakim yang mendengar perbicaraan kes itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya