'Nasib baik air dalam parit tak tinggi, jika tidak saya sudah mati' - Utusan Malaysia

‘Nasib baik air dalam parit tak tinggi, jika tidak saya sudah mati’

SEBUAH pacuan empat roda terjunam ke dalam parit selepas dirempuh kenderaan lain ketika memasuki simpang di Jalan Kasa, Taman Sentosa, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Berpantang maut sebelum ajal. 

Itu ungkapan sesuai menceritakan kejadian menimpa Ng Eng Leong, 56, yang tidak mengalami kecederaan walaupun pacuan empat roda dipandunya terjunam ke dalam parit selepas dirempuh kenderaan lain.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang tadi, dia sedang memandu berseorangan di Jalan Kasa, Taman Sentosa, di sini menuju ke kedai sayur-sayuran tempatnya bekerja.

“Saya memandu tidak terlalu laju kerana ini laluan kecil dan sedang membawa muatan sayur-sayuran. Secara tiba-tiba sebuah kenderaan keluar dari simpang dan merempuh bahagian kanan kenderaan saya. Akibat rempuhan itu, kenderaan saya terbabas ke kiri, merempuh tembok penghadang dan terjatuh ke dalam parit secara terbalik,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini.

Namun, Eng Leong tetap bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan serius, sebaliknya hanya luka-luka kecil pada bahagian siku tangan kanannya.

“Nasib baik tidak hujan ketika kejadian, jadi air di dalam parit tidak tinggi. Jika tidak, mesti saya sudah mati, namun cemas juga ketika terjatuh dalam keadaan terbalik melihat air sudah memasuki bahagian dalam kenderaan. 

“Saya pandang belakang dan perasan cermin belakang pacuan empat roda sudah pecah. Jadi, saya merangkak keluar dan memanjat ke tebing,” katanya.

Pemandu kereta Honda yang merempuhnya merupakan seorang lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 60-an turut tidak mengalami sebarang kecederaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya