MUAR: Jenazah Muhammad Akmal Md. Tukirin, 25, yang maut bersama dua pelajar lain dalam kemalangan tragis di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Dungun malam tadi selamat dikebumikan di Kampung Parit Baru, Ayer Hitam, Bukit Naning, dekat sini petang ini.
Jenazah Allahyarham disolatkan di Pusat Hidayah UiTM Dungun kira-kira pukul 11 pagi sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya dan tiba di Muar pada pukul 4 petang.
Jenazah kemudian sekali lagi disolatkan di Masjid Ar Rahmah Kampung Parit Baru selepas solat Asar sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam kampung berkenaan.
Kira-kira 100 ahli keluarga termasuk ayah, Tukirin Saringat, 60, dan ibunya, Rafeah Buang, 52 serta tiga adik-beradik dan penduduk kampung memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Muhammad Akmal
Cuaca redup mengiringi majlis pengebumian Allahyarham, seakan-seakan berkongsi rasa sedih serta sayu ahli keluarga atas kehilangannya.
Semalam, tiga pelajar UiTM Dungun meninggal dunia apabila dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dipercayai dipandu seorang wanita kurang siuman di Jalan Pantai Sura Hujung berhadapan UiTM Dungun. – UTUSAN