Mujur tiada hujan lebat - Penduduk - Utusan Malaysia

Mujur tiada hujan lebat – Penduduk

KEADAAN air pasang besar yang berlaku di Kampung Sungai Ayam, Batu Pahat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Penduduk Kampung Sungai Ayam, di sini bersyukur kerana fenomena air pasang besar yang berlaku ketika ini tidak disertai hujan sehingga boleh menyebabkan banjir besar.

Amran Satari, 59, berkata, walaupun sudah lali dengan fenomena yang berlaku hampir setiap bulan itu, namun penduduk  bimbang jika turut berlaku hujan lebat yang boleh menyebabkan banjir lebih besar.

Menurutnya, pernah berlaku kira-kira 30 tahun lalu apabila air pasang besar serentak dengan hujan lebat sepanjang malam sehingga menyebabkan penduduk dipindahkan akibat air mencacah paras pinggang memasuki rumah.

“Kejadian air pasang besar ini hanya berlaku antara tiga hingga lima hari dan airnya setinggi paras lutut di atas jalan dan memasuki kawasan kedai penduduk yang berkedudukan rendah sahaja. 

“Tiada penduduk yang dipindahkan kerana air akan surut dan kebiasaannya pada bulan September hingga November serta beberapa bulan lain pada awal tahun,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurut Amran, penduduk sudah bersiap sedia menghadapi fenomena itu dengan menyimpan barang-barang penting ke tempat lebih tinggi. 

Dalam pada itu, Ketua Kampung Sungai Ayam, Hamidi Nahar, 55, memberitahu, set janakuasa turut disediakan untuk mengepam air, sekali gus mengelak risiko lebih besar.

Katanya, terdapat 80 rumah dengan kira-kira 400 penduduk di kampung terbabit sudah dimaklumkan lebih awal agar bersiap sedia.

“Kami di sini bersyukur kerana tidak berlaku hujan dan cuaca cerah.  Jika tidak, ada beberapa tempat ditenggelami air kerana bertembung dan sistem perparitan akan penuh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya