BAGAN DATUK: Penduduk Kampung Simpang Empat, Tebuk Rasa Parit Dayang Batu 20 di sini merayu jalan pintas yang menghubungkan kampung mereka dengan kampung lain dinaik taraf kepada jalan tar untuk keselesaan penduduk.
Penduduk berkata, sehingga kini jalan pintas itu merupakan jalan berbatu dan tidak pernah ditar sedangkan tempat lain berdekatan kampung mereka jalannya sudah dinaik taraf kepada jalan tar.
Selain itu, jalan tersebut semakin rosak akibat dilalui kenderaan berat terutama lori membawa hasil kampung.
Jalan itu penting sebagai perhubungan utama penduduk kampung itu untuk keluar dan berulang alik ke tempat kerja.
Seorang penduduk, Ramli Osman, 72, berkata, jalan pintas itu memudahkan penduduk untuk ke kampung lain termasuk Bagan Pasir, Tebuk Haji Wahab dan beberapa kampung lain.
Katanya, jalan pintas itu merupakan nadi perhubungan penduduk untuk aktiviti harian mereka.
“Saya anak jati Kampung Batu 20 hairan kerana semua jalan lain semuanya sudah di tar iaitu dari pintu masuk jalan sehingga hujung jalan tapi kenapa jalan pintas ini tidak dinaik taraf kepada jalan tar.
“Jalan berbatu ini menyusahkan penduduk kerana bukan sahaja tidak selesa tetapi sukar untuk dilalui malah berbahaya jika hujan. Tidak wajar jalan yang penting buat penduduk kampung ini terus dibiarkan begini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, jalan itu juga rosak sejak lima tahun lalu dan semakin teruk disebabkan lori membawa hasil kampung turut menggunakan jalan tersebut.
Katanya, akibat jalan rosak, pernah berlaku kejadian van yang membawa jenazah ke tanah perkuburan Islam hampir terbalik selepas tayarnya terbenam dalam lubang akibat hujan.
“Keadaan jalan yang berlubang juga menyebabkan banyak berlaku kemalangan melibatkan motosikal sehingga ada yang cedera,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Ayop Abdul Kadir, 63, berkata, penduduk sudah lama menanti jalan tersebut dinaik taraf kepada jalan tar namun sehingga kini keadaannya tidak berubah.
“Kami berharap jalan ini dinaik taraf agar lebih selesa untuk kemudahan penduduk kampung ini, sama seperti yang dinikmati penduduk kampung lain di kawasan ini,” katanya. – UTUSAN