MELAKA: Seorang lelaki menitiskan air mata apabila berjaya memiliki lesen memandu kelas B2, selepas hampir 37 tahun menunggang motosikal tanpa lesen yang sah.
Osman Baba, 55, merupakan salah seorang daripada 2,500 calon yang lulus Program MyLesen B2 Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka 2024.
Katanya, sebelum ini dia telah lima kali gagal Ujian Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) atau ujian berkomputer.
“Saya ini bukan pandai sangat membaca, kerana itu saya gagal bila tiba pada ujian komputer. Gagal yang pertama saya cuba lagi tetapi gagal juga.
“Sekarang alhamdulillah kali ini saya berjaya lulus ujian komputer bila saya ikut program JPJ. Saya sendiri seperti tidak percaya sudah memiliki lesen B2.
“Rasa hendak menangis pun ada bila saya sah mendapat lesen B2. Bayangkan selama 37 tahun, sejak usia saya 18 tahun saya menunggang motosikal tanpa lesen yang sah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penutup Program MyLesen B2 JPJ Melaka 2024 dan Hari Eksplorasi Keselamatan Jalan Raya 2024 di Banda Hilir di sini, hari ini.
Tambah Osman yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Bukit Katil, hasil tunjuk ajar pegawai dan anggota JPJ menyebabkannya berjaya lulus Ujian KPP dengan cemerlang.
“Sudah banyak kali saya ditahan penguat kuasa JPJ dan polis kerana menunggang motosikal tanpa lesen ketika berulang-alik ke tempat kerja,” jelasnya. – UTUSAN