TEMERLOH: Seorang menantu sanggup berhenti kerja di sebuah kilang kayu demi menguruskan kebajikan bapa mentuanya, Syukri Hamid, 72, yang uzur dan menghidap sakit jantung serta pendarahan usus di Taman Saga, Mentakab di sini.
Wanita berkenaan, Raja Aimie Nadia Raja Amran, 32, berkata, keadaan penyakit mentuanya bertambah teruk dan memerlukan bantuan katil hospital, tilam, tambahan kewangan belanja susu khas yang mahal serta pengurusan rawatan lain.
“Saya membuat keputusan berhenti kerja untuk mengurangkan tekanan suami, Moryadi Syukri, 38, yang sebelum ini kerap bercuti menjaga bapanya.
“Bukan sahaja masalah saluran jantung tersumbat, bapa mentua saya berdepan komplikasi pendarahan usus serta kehilangan kaki kanan sebelum ini akibat penyakit tersebut pada bulan Mei lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Menurut Raja Aimie Nadia, perbelanjaan keluarga itu termasuk pengurusan penyakit bapa mentuanya bergantung pendapatan yang tidak seberapa suaminya sebagai tukang kebun di sebuah sekolah.
“Saya terpaksa berkorban demi membantu bapa mentua dan suami malah reda melalui ujian ini. Adik-beradik suami saya turut membantu sekadar termampu bagi mengurangkan kos perbelanjaan rumah dan bapa mereka,” katanya.
Ibu kepada tiga orang anak berusia antara lima hingga 11 tahun itu berkata, ketika waktu terluang selepas menguruskan bapa mentuanya, dia berniaga masakan panas dan burger pada sebelah petang berdekatan rumah untuk menampung pendapatan.
“Pendapatan suami kira-kira RM1,500 sebulan mana mampu untuk berbelanja semua barang keperluan dapur, persekolahan anak, bil termasuk rawatan bapa mentua malah saya sendiri pun perlu menyimpan untuk persediaan bersalin kerana sudah berbadan dua berusia lima bulan,” katanya.
Menurutnya, perbelanjaan bagi penjagaan dan rawatan bapa mentuanya kira-kira RM1,500 sebulan untuk susu khas, lampin pakai buang dan peralatan rawatan luka di belakang badan disebabkan kesan terlantar beberapa lama.
Orang ramai dan dermawan yang berhasrat untuk beramal jariah boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 156020480640 atas nama Raja Aimie Nadia Raja Amran. – UTUSAN