KUALA LUMPUR: Pengerusi Perhubungan UMNO negeri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengakui terdapat cubaan untuk menggulingnya bagi merebut, sekali gus menduduki jawatan disandang ketika ini.
Katanya, cubaan tersebut datang daripada ahli UMNO Sabah, namun tidak menyatakan secara spesifik nama pemimpin yang bercita-cita merampas tempatnya.
Namun kata Bung, beliau tidak peduli perkara tersebut dan menganggap ia perkara biasa dalam mana-mana organisasi.
“Memang ada… dan sebetulnya semua pemimpin mempunyai hasrat dan cita-cita, tetapi saya melihat bahawa perebutan jawatan itu bukan satu matlamat dalam perjuangan parti UMNO. Matlamat kita adalah memerintah dan seterusnya mengeluarkan Sabah daripada masalah kemiskinan yang dihadapi seperti bekalan air bersih, peluang pekerjaan dan sebagainya.
“Kalau perebutan itu hanya menghancurkan masa depan UMNO, lebih baik kita ketepikan isu merebut sebarang jawatan. Saya fikir itu perkara biasa dalam mana-mana organisasi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Kata Bung lagi, beliau tidak melihat masalah perebutan jawatan itu mampu menjejaskan UMNO Sabah secara keseluruhan, namun ia perlu dikawal supaya tidak menyebabkan perpecahan dalam parti.
“Buat masa ini, saya perlu meletakkan fokus untuk memantapkan parti dan beri penjelasan kepada rakyat. Ia tidak kira siapa yang merebut, tetapi soal yang paling penting adalah bagaimana ingin memenangi hati rakyat dalam Pilihan Raya Negeri akan datang,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Bung turut mengulas mengenai dakwaan ‘hubungan dingin’ bersama Timbalan Pengerusi UMNO negeri Sabah, Datuk Abdul Rahman Dahlan.
“Ia hanya persepsi sahaja, saya sendiri sentiasa bersama dengan beliau (Abdul Rahman) sewaktu di dalam mesyuarat. Tetapi mungkin bila saya di kawasan, dia tidak turut bersama, jadi ia menimbulkan cakap di sana sini.
“Sama ada saya atau dia tidak ada pun, itu bukan persoalannya tetapi hasrat kita untuk berjumpa dengan jentera pilihan raya kini sedang berjalan,” ujarnya.
Hubungan Bung dan Abdul Rahman didakwa tidak harmoni dengan beberapa insiden antaranya pada Jun lalu, apabila Bung menegur timbalannya dengan memaklumkan tindakan menjemput Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Hajiji Noor ke majlis mesyuarat UMNO Tuaran sebagai langkah tidak tepat dan silap.
Ini kerana majlis itu dikatakan Bung perlu menjadi platform buat Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan amanat dan strategi kepada ahli UMNO, namun terbatas dengan kehadiran pemimpin luar seperti Hajiji. – UTUSAN