Melaka fatwa GISBH sesat, ada persamaan dengan al-Arqam

Melaka fatwa GISBH sesat, ada persamaan dengan al-Arqam

ABDUL HALIM Tawil ditemui pada Seminar Pendidikan Fatwa Kontemporari di Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/HADI AB. MANAP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Melaka menjadi negeri seterusnya memutuskan bahawa kepercayaan, amalan serta pegangan yang diamalkan oleh pemimpin dan ahli Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) adalah bertentangan dengan hukum syarak.

Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, perkara itu diputuskan Jabatan Mufti Negeri Melaka selepas Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa yang berlangsung 3 Oktober lalu.

Jelasnya, hasil pembentangan dua agensi iaitu pasukan kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan laporan penangkapan oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati, terdapat elemen-elemen yang membawa kepada pengharaman al-Arqam dan Rufaqa pada GISBH.

“Kali ini kita melihat elemen tadi ke atas GISBH ada persamaan ciri-ciri yang dipegang oleh pengikut-pengikut bekas al-Arqam dan Rufaqa, yang mana mereka mendaftar ataupun menjenamakan mereka semua sebagai GISBH.

“Jadi perkara ini kami mengambil ketetapan bahawa ada persamaan daripada sudut kepercayaan, amalan dan juga pegangan mereka daripada sudut wirid dan sebagainya.

“Dan kita telah memutuskan iaitu apa yang dibawa oleh kumpulan GISBH ini adalah bertentangan dengan hukum syarak,” katanya ketika ditemui pada Seminar Pendidikan Fatwa Kontemporari di Ayer Keroh di sini, hari ini.

Sebelum ini, beberapa negeri antaranya Perlis, Pahang dan Selangor telah membuat ketetapan bahawa kepercayaan dan amalan GISBH adalah sesat kerana meneruskan kepercayaan dan amalan dalam al-Arqam.

Di Melaka, pengharaman al-Arqam yang diasaskan oleh Ashaari Muhammad telah diwartakan sebagai ajaran sesat pada 11 Ogos 1994 diikuti Rufaqa pada 2 Ogos 2007.

Tambah Abdul Halim, fatwa berkenaan pengharaman GISBH sebagai salah satu ajaran sesat di negeri ini akan disahkan dalam mesyuarat Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sebelum diangkat untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

“Ia tersasar daripada ajaran Islam yang sebenar dan daripada manhaj Ahli Sunah Waljamaah. Kita sudah putuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa, telah bersetuju. 

“Cuma prosesnya daripada sudut pentadbiran untuk mendapat, disahkan dalam mesyuarat majlis (MAIM). Seterusnya diangkat untuk perkenaan Yang di-Pertuan Agong,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya