MBS keluarkan notis pengosongan kepada penyewa PPR ada tunggakan sewa - Utusan Malaysia

MBS keluarkan notis pengosongan kepada penyewa PPR ada tunggakan sewa

NOTIS makluman yang dipasang sebelum ini oleh pihak MBS bagi memaklumkan tindakan yang akan diambil terhadap penyewa di Pangsapuri Rakyat Seri Perdana Paroi yang gagal menjelaskan tunggakan sewaan sewa rumah mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS) telah mengeluarkan notis penamatan perjanjian sewaan dan mengosongkan premis sewaan berkuat kuasa 1 November ini kepada penyewa rumah di dua buah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bandar ini yang mempunyai tunggakan sewa yang belum dibayar.

Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali berkata, tindakan tersebut diambil selepas penyewa-penyewa berkenaan iaitu dari Pangsapuri Rakyat Seri Perdana Paroi dan Rumah Pangsa Kos Rendah Lobak itu tidak mematuhi perjanjian yang telah dipersetujui.

Ujarnya, antara perkara yang dipersetujui dalam perjanjian itu adalah untuk penyewa terlibat melakukan bayaran ansuran bulanan yang mampu dibayar secara konsisten dalam tempoh enam bulan.

Terdahulu jelas beliau, tempoh perjanjian sewaan sebelum ini telah berakhir pada 31 Disember 2023 yang lalu dan peringatan mengenai perkara itu juga telah dibuat kepada penyewa.

“Penyewa turut telah dimaklumkan bahawa premis sewaan berkenaan akan ditarik balik dan dikunci berkuat kuasa 1 Januari 2024 sekiranya mereka gagal menjelaskan bayaran tunggakan sewa tersebut.

“Bagaimanapun MBS telah mengambil pendekatan dengan mengadakan pertemuan dengan penyewa yang terlibat bagi melihat keadaan penyewa dan kemampuan untuk membayar tunggakan sewa berkenaan.

“Penyewa juga diminta untuk mencadangkan satu jumlah bayaran ansuran bulanan yang mampu dibayar secara konsisten dalam tempoh enam bulan dan menandatangani persetujuan sebagai aku janji bagi perkara ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Masri, penyewa juga telah bersetuju bahawa tindakan penamatan perjanjian dan mengunci rumah akan dilaksanakan sekiranya mereka tidak mematuhi aku janji yang telah dibuat.

“Namun berdasarkan pemantauan yang dilakukan, MBS mendapati masih terdapat penyewa yang gagal untuk mematuhi perjanjian yang telah dipersetujui.

“Sehubungan dengan itu, MBS telah mengeluarkan notis penamatan perjanjian sewaan dan mengosongkan premis sewaan berkuat kuasa pada 1 November 2024 kepada penyewa yang terlibat serta tindakan ini akan dilakukan secara berterusan dari semasa ke semasa,” kata beliau lagi.

Masri dalam pada itu memaklumkan, sehingga kini terdapat lebih dari RM3.3 juta tunggakan sewa yang masih belum dibayar kepada pihak MBS walaupun pelbagai usaha telah dibuat dan surat amaran juga telah dikeluarkan kepada penyewa terlibat.

“MBS meminta perkara ini dijadikan teladan kepada penyewa yang lain supaya menjelaskan bayaran tunggakan sewa kerana kadar sewa yang ditetapkan adalah terlalu rendah iaitu sebanyak RM150 sebulan,” katanya lagi.

Terdapat sebanyak 400 unit rumah PPR di Pangsapuri Rakyat Seri Perdana Paroi dan 200 unit di Rumah Pangsa Kos Rendah Lobak yang disediakan kemudahan sewaan oleh MBS.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya