MB tegur semua persatuan sukan di Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

MB tegur semua persatuan sukan di Negeri Sembilan

AMINUDDIN Harun (tengah) bergambar bersama para pegawai dan atlet pada Majlis Penyampaian Insentif Atlet Negeri Sembilan ke Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 di Seremban hari ini.-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Semua persatuan sukan di Negeri Sembilan perlu membentangkan rancangan pembangunan atlet dan acara sukan masing-masing pada Januari akan datang dalam usaha mengembalikan kegemilangan negeri ini dalam sukan.

Arahan itu diberikan bersama teguran keras Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun terhadap persatuan sukan yang hilang arah hingga mendorong atlet atau pemain mereka berhijrah ke negeri lain untuk mengembangkan bakat.

Beliau berkata, pencapaian dalam Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak baru-baru ini perlu dijadikan ukuran bahawa lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk negeri ini kembali cemerlang dalam sukan.

“Jangan abaikan lebih satu juta penduduk Negeri Sembilan terutamanya anak-anak muda yang memerlukan tempat dan peluang untuk meningkat naik dalam sukan.

“Cukup-cukup lah setakat berasa selamat dan hanya hendak menjaga jawatan dalam persatuan sukan,” katanya sewaktu berucap pada Majlis Penyampaian Insentif Atlet Negeri Sembilan ke Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 di sini hari ini.

Lanjutan daripada teguran itu, Aminuddin berkata, kerajaan negeri sanggup bertindak lebih tegas melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) dengan mengambil alih sukan yang diabaikan oleh persatuan.

Jelasnya, ia boleh dilakukan memandangkan persatuan sukan menerima peruntukan kerajaan yang mana sebahagian daripada wang itu sepatutnya digunakan untuk membangunkan atlet dan menyediakan peluang untuk bertanding.

“Tindakan seperti ini diambil kerana negeri ini tidak mahu kehilangan sumber yang berdaya membawa obor kecemerlangan dalam sukan.

“Negeri Sembilan mahu mencapai kedudukan sebagai pencabar utama dalam semua jenis sukan dan bukan sekadar berpuas hati dengan duduk sebagai penyorak,” ujarnya.

Pada Sukma Sarawak 2024, kontinjen Negeri Sembilan telah meraih 56 pingat dengan memungut 19 emas, perak (13) dan gangsa (24).

Pasukan menembak menggondol 12 emas dengan atlet Gan Chen Jie telah diumumkan sebagai Olahragawati Sukma.

Pemenang pingat emas menerima insentif sebanyak RM5,000, perak (RM3,000) dan gangsa (RM1,500) yang menyaksikan kerajaan negeri membelanjakan sebanyak RM485,000 untuk tujuan itu.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya