ALOR GAJAH: Mayat seorang wanita berpakaian renang ditemukan orang awam di pesisir Pantai Tanjung Bidara di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, mayat si mati berusia 40 tahun itu ditemui kira-kira pukul 7.20 pagi dalam keadaan tertiarap dipercayai kerana lemas.
Ujarnya, mangsa didapati mendaftar masuk semalam di sebuah chalet berhampiran seorang diri untuk dua malam.
“Mangsa dipercayai telah lemas. Kita menemui barangan miliknya seperti selipar, baju sejuk dan kunci chalet atas tambak batu pantai.
“Semakan di sebuah chalet mendapati mangsa baru sahaja mendaftar masuk dan menurut keluarganya dia sering berjalan-jalan seorang diri,” katanya.
Tambah Ashari, pemeriksaan pada mayat tidak menjumpai sebarang unsur jenayah dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat. Kita perlu tunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui punca sebenar kematian,” ujarnya. – UTUSAN