ARAU: Setiap kali menjelang perayaan Deepavali, makanan tradisi masyarakat India, maruku dan omapodi yang disediakan Santhi Sathasivam,62, dari Kampung Belukar di sini menjadi tumpuan.
Menariknya, juadah ‘wajib’ Deepavali itu bukan sahaja menjadi tarikan dalam kalangan masyarakat India sebaliknya pelbagai kaum khususnya Melayu dan Cina juga tidak melepaskan peluang mendapatkan makanan berkenaan yang hanya disediakan setahun sekali oleh Santhi.
Sejak 35 tahun lalu, masyarakat pelbagai kaum tidak sabar menanti sentuhan Santhi menyediakan maruku dan omapodi sehingga membuatkan warga emas tersebut tidak menang tangan menerima tempahan.
Santhi berkata, dia hanya menyediakan juadah berkenaan setahun sekali iaitu bersempena sambutan Deepavali.
Katanya, tempahan berkenaan kelaziman hanya tertumpu buat pelanggan dari sekitar negeri ini terutama membabitkan penduduk sekitar.
“Para pelanggan saya sejak puluhan tahun lalu bukan masyarakat India sahaja sebaliknya semua kaum mendapatkan maruku yang disediakan. Boleh dikatakan ini (maruku) perpaduan kaum.
“Resepi menyediakan maruku tersebut adalah resepi turun-temurun keluarga. Setiap tahun menjelang Deepavali, maruku dan omapodi ini menjadi antara hidangan paling menarik perhatian. Maruku sememangnya menjadi juadah wajib Deepavali ini.
“Saya membuat maruku ini bersama saudara dan selepas siap tempahan ia akan dihantar sendiri ke rumah para pelanggan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Tambah Santhi, maruku bekas besar membabitkan 200 biji dijual pada harga RM110 manakala bekas plastik mengandungi 50 biji maruku pula pada harga RM30.
“Omapodi pula dijual pada harga RM30. Saya akan terus menyediakan juadah tradisional masyarakat India ini selagi masih mempunyai kudrat,” katanya. – UTUSAN