Markas Tabib Adam digempur JAIM, MPAG

Markas Tabib Adam digempur JAIM, MPAG

OPERASI dijalankan JAIM dan MPAG di Markas Perubatan Islam Jarak Jauh Tabib Adam di Masjid Tanah, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Markas Perubatan Islam Jarak Jauh Tabib Adam yang beroperasi di Masjid Tanah di sini digempur Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bersama Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), semalam.

Operasi penguatkuasaan itu dijalankan dipercayai susulan khidmat Tabib Adam atau nama sebenarnya Adam M. Isa difatwakan sesat pada 12 September lalu.

Pemeriksaan di lokasi yang dinamakan sebagai Villa Dato’ Tabib Diraja Dato’ Adam M. Isa itu menemukan beberapa dokumen dan pakaian yang mempunyai gambar individu berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman ketika dihubungi enggan mendedahkan sebarang maklumat berhubung operasi itu.

“Belum ada keperluan untuk respons buat masa ini, siasatan masih dijalankan, terima kasih,” katanya.

Pada 14 Oktober lalu, Utusan Malaysia melaporkan, Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil memberi peringatan kepada masyarakat Islam khususnya di negeri ini agar tidak mendapatkan khidmat Perubatan Islam Jarak Jauh Tabib Adam kerana ia telah difatwakan sesat pada 12 September 2024.

Abdul Halim menjelaskan, kaedah digunakan Tabib Adam yang mempunyai pusat rawatan di Masjid Tanah disahkan bercanggah dengan hukum syarak.

Katanya, JAIM telah diarah mengambil tindakan berdasarkan fatwa yang diwartakan baru-baru ini, berikutan individu itu masih giat mempromosikan perkhidmatannya melalui platform media sosial.

Pada Jun 2023, Tabib Adam yang turut popular dengan gelaran ‘pakar buang saka’ mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan membuat hantaran jelik mengaitkan JAIM dengan Dajal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya