GUA MUSANG: Lelaki Orang Asli yang menjadi mangsa serangan harimau belang di Kampung Badak, Pos Bihai di sini lebih tiga tahun lalu kini mengalami cacat kekal apabila mata kirinya buta akibat kesan dicakar haiwan buas itu.
Adin Andok, 51, berkata, dia kini sudah pulih daripada kecederaan dan hanya tinggal parut di badan, tangan dan kepala.
Katanya, dia juga hilang sumber pendapatan dan hanya dapat berkebun secara terhad selepas mata kirinya cacat.
“Saya kini menjadi orang kelainan upaya (OKU) apabila sebelah mata sudah tidak dapat melihat.
“Saya sudah memohon kad OKU dan bantuan bulanan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta berharap permohonan diluluskan segera,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Pos Bihai di sini baru-baru ini.
Adin berkata, sebelum ini dia sudah menjalani rawatan mata di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai, namun doktor memaklumkan sebelah matanya tidak dapat dipulihkan.
Katanya, akibat kehilangan penglihatan sebelah mata, dia kini tidak dapat melakukan kerja berat dan hanya dapat melakukan aktiviti bercucuk tanam di kebun berhampiran rumahnya.
“Saya hanya menerima wang bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang diberikan kerajaan.
“Saya berharap agar bantuan wang secara bulanan JKM dapat disalurkan bagi menampung kehidupan,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, dia berharap JKM dapat membantu dan meluluskan bantuan bulanan secara segera kepada mangsa.