KUALA LUMPUR: Batalion Malaysia (Malbatt) 850-11 berpangkalan di Tibnin dan Marakah di Lubnan berhak membuat serangan balas terhadap tentera Israel sekiranya kedudukan mereka terancam.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ancaman di Lubnan memang diakui semakin meningkat ketika ini.
Menurut beliau, Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) sudah menyediakan garis panduan termasuk soal ancaman yang dihadapi pasukan pengaman di negara itu.
“Jika berlaku serangan dari segi force protection measure yang ditetapkan, kalau untuk mempertahankan diri maka memang boleh untuk kita (Malbatt 850-11) membalas tembakan tetapi untuk lakukan serangan ofensif maka itu kita tidak dibenarkan.
“(Ini) kerana peranan dan tanggungjawab pasukan UNIFIL adalah sebagai pengaman,” katanya semasa Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) yang meminta jawapan sama ada Malbatt 850-11 boleh melakukan serangan balas terutama selepas tentera Sri Lanka dan Indonesia diserang Israel di Lubnan.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, sudah ada pelan-pelan yang disediakan sekiranya keadaan di Lubnan meruncing termasuk untuk membawa pulang Malbatt 850-11 kembali ke tanah air.
Bagaimanapun, kata beliau, semua keputusan tersebut perlu dibuat oleh UNIFIL.
“Semua operasi dan pergerakan kita berada di bawah tanggungjawab UNIFIL, mereka yang akan membuat keputusan. Sama ada kita mengundur atau pun tidak itu bergantung kepada keputusan UNIFIL dan persetujuan semua negara-negara yang terlibat menghantar pasukan pengaman iaitu sebanyak 50 buah negara,” jelasnya.
Sementara itu, beliau berkata, keadaan semasa anggota dan pasukan Malbatt 850-11 di Lubnan masih dalam keadaan terkawal.
“Tahap keselamatan semasa pasukan Malbatt 850-11 adalah selamat dan tiada sebarang kemalangan jiwa serta kerosakan aset di kawasan yang dijaga dan dikawal oleh pasukan kita sepanjang tempoh perang antara Hezbollah dan Israel.
“Kesemua pasukan di bawah UNIFIL termasuk pasukan Malbatt 850-11 yang beroperasi di Selatan Lubnan telah diarahkan untuk tidak melaksanakan operasi rondaan atau pergerakan logistik dan kekal di penempatan masing-masing,” katanya.
Tambahnya, markas UNIFIL turut mengaktifkan perlindungan di dalam kubu mengikut prosedur yang ditetapkan sehingga keadaan terkawal bagi mengambil kira keselamatan petugas. – UTUSAN