MALBATT 850-11 kekal di Lubnan

MALBATT 850-11 kekal di Lubnan selagi tiada arahan dikeluarkan UNIFIL

MOHAMMAD Ab. Rahman memberi tabik hormat ketika memeriksa perbarisan pada Sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia Ke-91 Tahun 2024 di Kem Segenting, Port Dickson hari ini.-UTUSAN/FARIZ RUSADIO.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 di Lubnan tidak akan berundur dengan keputusan sendiri sebaliknya akan tetap bersama Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL).

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman berkata, walaupun keadaan terkini di negara itu agak getir susulan serangan tentera Israel, anggota MALBATT 850-11 akan kekal selagi tiada arahan dikeluarkan oleh pihak UNIFIL.

Bagaimanapun menurut beliau, UNIFILL telah pun mengeluarkan pengarahan untuk penggantian anggota dan pegawai MALBATT (850-12) yang kebiasaannya dibuat pada bulan November dibekukan buat masa ini.

“Maknanya tiada pergerakan sehinggalah arahan seterusnya dikeluarkan. Bagaimanapun, anggota tentera kita berada dalam keadaan selamat, sekiranya akan berlaku serangan, pihak yang bertelagah akan memaklumkan kepada pihak UNIFIL beberapa jam sebelum mereka melaksanakan serangan.

“Jadi dengan itu anggota-anggota kita akan melaksanakan contingency drill untuk masuk ke dalam bunker masing-masing dan sehinggalah keadaan kembali pulih seperti sedia kala mereka akan keluar,” katanya pada sidang akhbar Sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Ke-91 Tahun 2024 di Kem Segenting, di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain iaitu berhubung kontrak sewaan helikopter Black Hawk, Mohammad menegaskan pihak Tentera Darat Malaysia akan sentiasa berpegang kepada pendirian bahawa perolehan helikopter berkenaan mestilah mematuhi segala perincian dan terma yang digariskan di dalam surat setuju terima yang telah dipersetujui.

“Segala kelewatan akan diambil tindakan sewajarnya oleh bahagian perolehan selaku pengurus kontrak termasuk mengenakan denda lewat atau penamatan kontrak sekiranya diperlukan,” katanya.  

Menurut beliau, buat masa ini, Tentera Darat bersedia untuk menerima helikopter sebagaimana tarikh yang dipersetujui di dalam surat lanjutan kedua yang telah dikeluarkan oleh bahagian perolehan iaitu sebelum atau pada 30 Oktober ini. 

“Sekiranya syarikat masih gagal membuat penghantaran mengikut tarikh yang ditetapkan, Tentera Darat akan menggesa bahagian perolehan untuk mengambil tindakan tegas sejajar dengan syarat-syarat yang digariskan di dalam surat lanjutan tersebut,” katanya.

Menurut beliau, seandainya kontrak tersebut dibatalkan, spesifikasi dan penjenisan helikopter yang sama iaitu helikopter utiliti tempur wajar digantikan bagi memenuhi keperluan operasi Tentera Darat serta keperluan staf am pasukan udara tentera darat.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya