PUTRAJAYA: Malaysia dan Rusia bersetuju untuk mewujudkan Kursi Pengajian Melayu di salah sebuah universiti di Rusia.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, perkara itu disepakati dalam Mesyuarat ke-3 Suruhanjaya Bersama Malaysia-Rusia (JCESTC) bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Kebudayaan di St. Petersburg.
Ia dibincangkan bersama rakan sejawatan, Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Rusia, Valery Falkov.
“Hal ini akan dibincangkan secara lanjut di peringkat lebih tinggi sebelum dimuktamadkan.
“Ini juga bertepatan dengan kedudukan Bahasa Melayu yang menjadi salah satu program dan kursus yang ditawarkan di beberapa buah universiti terkemuka di Rusia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zambry berkata, pengisian pembelajaran kursus ini termasuklah mengenai kesusasteraan Bahasa Melayu, sejarah Bahasa Melayu dan latar belakang Melayu dan Nusantara.
Pada masa sama, katanya, kursi yang akan ditubuhkan ini akan membantu memartabatkan lagi Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa dengan beberapa kerjasama akan ditambah baik antara Kerajaan Rusia dan Malaysia.
“Saya juga mengemukakan cadangan untuk menghantar lebih ramai pensyarah dan guru bahasa kita ke Rusia dan pada masa sama menjemput pensyarah daripada Rusia untuk datang menjalani kursus di Malaysia dan mengenal lebih lanjut budaya di Malaysia.
“Sebelum ini, Kursi Pengajian Melayu KPT ditubuhkan di beberapa buah institusi seluruh dunia seperti BFSU China, Ohio University di Amerika Syarikat, Leiden University di Belanda, Victoria University di New Zealand dan Hankuk University of Foreign Studies, Korea Selatan,” katanya. – UTUSAN