Malaysia, Jordan atur bantuan perubatan ke Gaza - Utusan Malaysia

Malaysia, Jordan atur bantuan perubatan ke Gaza

MOHAMAD Hasan ketika ditemui pemberita pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2023 di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Rembau hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Malaysia dan Jordan kini dalam proses mengaturkan bantuan perubatan ke Gaza selepas serangan berterusan Israel menyebabkan kawasan itu kehabisan bekalan ubat-ubatan.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau telah menerima panggilan telefon daripada Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi kelmarin yang memaklumkan mengenai keadaan terkini di utara Gaza.

“Bantuan perubatan sangat penting memandangkan 30 daripada 33 buah hospital telah musnah (sepenuhnya)… tinggal tiga, itu pun sudah tiada bekalan yang tinggal, ramai yang cedera.

“Di utara Gaza memang teruk, hospital sudah tiada bekalan perubatan, ubat anestetik tiada, ubat antibiotik tiada, jadi, kita mesti berbincang.

“10 hingga 20 negara akan mengumpulkan dana dan kita akan cuba bawa kerana perlu kelulusan hubungan dengan Israel melalui Jordan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2023 di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Rembau, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad menjelaskan bantuan perubatan serta makanan akan menggunakan laluan Lintasan Jambatan Raja Hussein yang menghubungkan Tebing Barat dengan Jordan.

Beliau juga memberitahu,sudah mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggunakan wang Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) dari rakyat Malaysia untuk diserahkan secara tunai kepada Jordan.

Sementara itu, Mohamad berkata, Malaysia akan memanfaatkan sebaik mungkin platform Kepengerusian ASEAN 2025 bagi meningkatkan imej baik negara ini di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, Malaysia akan mengurus dengan baik penganjuran tersebut supaya setiap pandangan Malaysia dalam mana-mana mesyuarat dapat menjadi keputusan yang penting untuk diambil kira oleh negara lain.

“Yang penting kita tonjol imej negara kita di peringkat antarabangsa, sekarang ini orang mendengar suara kita di peringkat Bangsa-Bangsa Bersatu, ASEAN, Negara Pertubuhan Islam, G20 dan negara-negara berkecuali.

“Kadang-kadang mereka (negara berkenaan) bertanya pandangan kita, ia menjadi suatu yang penting bagi sesuatu keputusan dalam satu-satu mesyuarat,” katanya lagi.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN