KUALA LUMPUR: Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 (AIR 2040) bertujuan mengubah sektor air negara menjadi lebih berdaya saing dan berfungsi sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, tumpuan kepada jaminan bekalan air berkualiti melalui pelan ini turut merangkumi pengembangan bidang sains, teknologi, inovasi, dan ekonomi (STIE) yang berpotensi menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan dalam sektor air untuk rantau ini.
Menurut beliau, dengan pelaburan lebih tinggi dalam teknologi air serta pembangunan penyelidikan dan kemahiran, Malaysia berpotensi menarik lebih banyak pelaburan asing dan mencipta peluang pekerjaan berkualiti bagi rakyat.
“AIR 2040 dijadualkan berlangsung dalam empat fasa sepanjang 20 tahun di bawah Rancangan Malaysia dan menggariskan lapan pemacu perubahan bagi memperkasa sektor air negara secara holistik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Peluncuran Pelan Hala Tuju Transformasi AIR 2040 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) itu berkata, lapan pemacu perubahan untuk memperkasa sektor air negara adalah pembiayaan alternatif, sektor ekonomi baharu, adaptasi perubahan iklim, air maya dan jejak air.
Selain itu, advokasi dan kesedaran awam, integrasi data, teknologi pintar dan neksus tenaga makanan dan air.
Kata beliau, AIR 2040 turut mencadangkan perubahan pandangan terhadap air iaitu bukan sekadar sebagai sumber awam semata-mata tetapi sebagai aset ekonomi.
“Contohnya, kadar Air Tidak Terhasil (non-revenue water) yang tinggi di Malaysia iaitu 37.4 peratus atau kira-kira RM2 billion pada 2023 telah menyebabkan kerugian besar kepada negara.
“Kita harus mengubah persepsi air daripada satu sektor yang memerlukan kos besar kepada satu sektor yang mampu menjana pendapatan dan menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Kasar Dalam Negara (KDNK),” katanya.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata, sebagai perbandingan, sektor tenaga dan industri intensif tenaga menyumbang kira-kira 28 peratus kepada KDNK dan 25 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga kerja.
Jelas beliau, melalui pendekatan Pengurusan Sumber Air Bersepadu (IWRM), AIR 2040 menekankan keutamaan air dalam agenda pembangunan negara serta kesinambungan hidup rakyat.
“Pelan ini diselaraskan dengan dasar strategik nasional seperti Dasar Air Negara, Rancangan Malaysia-13 (RMK-13), dan Pelan Induk Perindustrian Negara 2030 (NIMP2030) untuk memastikan Malaysia mencapai kemajuan dalam sektor air secara mampan dan komprehensif.
“Pelaksanaan AIR 2040 diharap akan membawa manfaat besar bukan sahaja kepada kesejahteraan rakyat tetapi juga kepada pembangunan sosioekonomi negara,” jelasnya.