KUALA LUMPUR: Malaysia berpotensi besar menjadi hab inovasi teknologi di Asia Tenggara dengan syarat aliran sains menerusi Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) diperkasakan supaya generasi muda bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, inovasi adalah penggerak utama kecemerlangan dalam bidang kejuruteraan dengan mengadaptasi budaya kreatif dan keusahawanan.
Katanya, negara mampu memperkasakan jurutera sedia ada untuk membangunkan solusi bukan sahaja untuk permasalahan tempatan bahkan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
“Perkara ini memerlukan kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan akademik untuk membangunkan ekosistem bagi memupuk inovasi di setiap peringkat.
“Pada masa sama dengan lebih 200,000 jurutera dan kejuruteraan teknologi berdaftar dengan BEM (Lembaga Jurutera Malaysia) ditambah pula purata 15,000 pendaftaran baharu setiap tahun, jumlah ini mewakili sumber tersedia untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam bidang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Konvensyen Lembaga Jurutera Malaysia, di sini, hari ini.
Konvensyen yang berlangsung sehingga 4 Oktober ini menghimpunkan lebih 300 jurutera bagi membincangkan cabaran memperkasakan bidang kejuruteraan dalam usaha memajukan negara.
Datuk Seri Fadillah turut menyaksikan upacara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara BEM dengan beberapa institusi pengajian tinggi, yang bermatlamat memperkukuhkan proses pendaftaran pendaftaran graduan bidang kejuruteraan ke dalam BEM, sebagai persediaan pekerjaan mereka dalam bidang itu.
Antara yang terlibat adalah Universiti Malaysia Sarawak (UniMAS), Universiti Malaysia Sabah (UMS) Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, jumlah pendaftaran jurutera baharu iaitu secara puratanya 15,000 setahun di negara ini dianggap sudah stabil dan harus dikekalkan.
“Bagi mengekalkan kemasukan yang stabil ini, pendaftaran dan usaha berterusan amat penting untuk menggalakkan lebih ramai pelajar tertarik mengikuti kursus kejuruteraan dan menjadikannya sebagai karier,” katanya.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata, negara bakal memerlukan lebih ramai jurutera sejajar dengan dasar tenaga hijau untuk menjaga kemampanan alam sekitar.
“Semua ini memerlukan pandangan dan kepakaran daripada jurutera dalam pembangunan teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui dan infrastruktur yang efisien. Ia penting dalam mencapai sasaran alam sekitar sambal menjana perkembangan ekonomi negara,” katanya.