KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) terus komited dalam menyantuni tiga keluarga asnaf yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin menerusi Program Ziarah Asnaf Siri 7 di sini, semalam.
Program Ziarah Asnaf pada kali ini memberi seribu harapan kepada penerimanya dalam meneruskan kehidupan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, bantuan yang diterima oleh tiga keluarga asnaf itu bakal mengurangkan beban kewangan yang dihadapi mereka.
“MAIWP membantu mengurangkan beban mereka dari segi perubatan, keperluan asas, peralatan persekolahan dan sumbangan kewangan yang diberi secara bulanan.
“Antara penerima bantuan pada siri kali ini ialah seorang pesara kerajaan yang hanya menerima pencen bulanan sebanyak RM1,104 dan perlu menanggung seorang isterinya.
“Penerimanya, Ramli Yusof, 74, menghidap sakit buah pinggang, darah tinggi, kencing manis kronik dan juga hilang daya ingatan,” kata Mohd Na’im yang turut diiringi Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Mohd. Nizam Yahya pada program itu.
Beliau berkata demikian pada Program Ziarah Asnaf siri Ke 7 di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin dan PPR Air Panas.
Tambah Mohd. Na’im, anak-anaknya kini tidak duduk serumah bersamanya dan sudah terputus hubungan sejak 2021.
“Anak sulung Ramli baru-baru ini menghidapi sakit angin ahmar, manakala anak bongsunya tidak dapat bertemu sehingga kini,” katanya.
Jelasnya, bantuan kewangan bulanan sebanyak RM500, bantuan perubatan seperti set diabetik sebanyak RM472 dan peralatan kesihatan seperti alat pengukur tekanan darah (blood pressure monitor) dan bantuan kaca mata sebanyak RM800 yang diberi ‘one-off’
Keluarga asnaf seterusnya yang menerima bantuan, Jamal Sulaiman, 50, merupakan pesakit kencing manis yang telah dipotong kaki pada 2021.
Menurut isterinya, Roziha Ibrahim, ia bermula dengan luka kecil dan seterusnya merebak sehingga berlaku jangkitan kuman.
“Dia alami luka kecil sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Namun, disebabkan pergerakan untuk keluar rumah terbatas, lukanya semakin merebak sehingga kaki bahagian betis kiri terpaksa dipotong,” katanya.
Menurut Mohd. Na’im, jumlah bantuan yang diterima keluarga terbabit secara tahunan adalah lebih RM21,000.
Dalam pada itu, beliau juga berkesempatan untuk menziarah pesakit kanser tahap empat, Awaluddin Ismail, 44, yang memerlukan rawatan kimoterapi di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Dia yang memerlukan suntikan ubat Bevacizumab setiap kali membuat rawatan kimoterapi, telah dibantu bantuan perubatannya sebanyak RM1,228 sebulan.
“Seterusnya dia sekeluarga sudah menerima bantuan kewangan bulanan sebanyak RM500, bantuan keperluan asasi sebanyak RM300 dan bantuan menyelesaikan hutang air Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebanyak RM800 secara ‘one-off’.
Program Ziarah Asnaf yang diadakan secara berkala itu bertujuan untuk memastikan golongan asnaf menerima bantuan yang sewajarnya, di samping memperkukuhkan hubungan antara pihak berwajib bersama masyarakat. – UTUSAN