Mahu bina hidup baharu lepas dua kali disumbat ke penjara

Mahu bina hidup baharu lepas dua kali disumbat ke penjara

Bekas banduan yang mahu dikenali sebagai Mat semasa ditemui selepas majlis Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) Sempena Perayaan Deepavali di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Machang semalam. – UTUSAN/ ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG: Bekas kontraktor nekad memulakan hidup baharu selepas dua kali dipenjara kerana menggelapkan wang syarikat lebih RM100,000 kerana terdesak untuk menyara keluarga dan kegunaan sendiri.

Lelaki dikenali sebagai Mat, 41, berkata, pengalaman dua kali meringkuk dalam penjara membuatkan dia kini insaf dan serik untuk mengulangi ke­si­lapan tersebut.
Mat berkata, kesalahan pertama pada 2017 selepas menye­lewengkan wang berjumlah RM70,000.

“Kesalahan itu menyebabkan saya dipenjara tiga tahun dan dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Selepas keluar penjara saya masih lagi diterima bekerja.

“Entah bagaimana, saya berani mengulangi kesilapan sama buat kali kedua dengan menyeleweng sejumlah RM45,000. Kesalahan itu saya lakukan pada dua tahun lalu,” katanya ditemui pemberita pada majlis Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) Sempena Perayaan Deepavali di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) di sini semalam.

Mengulas lanjut, Mat berkata, disebabkan berkelakuan baik dan mengikut semua peraturan di penjara, akhirnya dia dibebaskan lebih awal.

Katanya, mengikut hukuman asal yang dijatuhkan oleh mahkamah dia akan dibebaskan pada tahun depan.

“Selepas ini, saya akan be­kerja di sebuah kilang di Kuala Lumpur yang sudah pun di­uruskan pihak majikan. Janji saya pada diri sendiri untuk ti­dak mengulangi kesalahan sama.

“Lagi pun saya masih bujang dan perlu menyara emak berusia 70-an dan ayah berusia 80-an yang kini menghidap penyakit jantung,” katanya yang juga anak keempat daripada lima beradik.

Sementara itu, Pengarah PPA Machang, Ahmad Zulkarnain Abdul Khalid berkata, seramai 63 banduan berusia antara 25 hingga 51 tahun dibebaskan melalui PBSL semalam.

Katanya, daripada jumlah tersebut 42 diserahkan kepada majikan untuk kembali bekerja, 12 di Rumah Perantaraan (RP) dan sembilan banduan diserahkan kepada keluarga.

“Program ini diharap dapat memberi lebih keinsafan dan pemulihan kemanusiaan kepada banduan supaya tidak lagi kembali ke penjara atau melakukan sebarang kegiatan jenayah.

“Sehingga sekarang, lebih 1,400 banduan menerusi PBSL atas pelbagai kesalahan termasuk kes jenayah dan dadah.

“Banduan yang dibebaskan hari ini (semalam) juga ada antara mereka akan bekerja di bahagian perhotelan, bengkel kereta, kilang dan ladang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya