PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mengetepikan hukuman mati terhadap seorang bapa kerana membunuh anaknya yang berusia dua tahun, di Klang dekat sini sebelum mayatnya ditemukan dalam sebuah beg oleh dua nelayan di Teluk Intan, Perak, 17 tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebaliknya memerintahkan M. Murthy, 46, dipenjara maksimum 40 tahun bermula tarikh tangkap pada 9 Februari 2007 dan dikenakan 12 sebatan.
Beliau yang bersidang bersama-sama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Nordin Hassan memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan semakannya.
Murthy, 46, disabitkan membunuh Ruthren pukul 4.15 petang, 20 Januari 2007, di rumah Lot 1848, Jalan Kapar, Sungai Pinang, Klang, dekat sini.
Terdahulu, peguam Abdul Rashid Ismail yang mewakili Murthy memohon hukuman mati diketepikan atas alasan anak guamnya mengalami gangguan mental dan pernah cuba untuk membunuh diri ketika dalam penjara.
Hujah peguam, laporan perubatan yang dikeluarkan oleh Hospital Kajang mengesahkan pemohon didiagnos mengalami psikosis dan tertekan kerana kehilangan anak.
“Pemohon mengalami psikosis sehingga dia kehilangan hubungan dengan dunia realiti,” hujah Abdul Rashid.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Solehah Noratikah Ismail membantah permohonan semakan itu atas alasan pemohon hanya mengalami gangguan mental ketika ditahan di penjara, bukan ketika kejadian berlaku.
Hujah beliau, kes itu melibatkan kematian anaknya yang berusia dua tahun dan kejadian itu turut disaksikan oleh seorang lagi anaknya.
Hakim Nordin kemudian mencelah bahawa wujud keterangan yang melimpah ruah bahawa pemohon mengalami gangguan mental dan dipersetujui oleh Solehah bahawa lelaki itu masih menerima rawatan.
Hakim Abang Iskandar juga menarik perhatian mahkamah bahawa individu yang mengalami gangguan fikiran, tidak dikenakan hukuman mati.
Berdasarkan keterangan isterinya K. Selvi selaku saksi pendakwaan ke-13, dia melihat tertuduh memijak kepala mangsa yang sedang menangis sehingga muka kanak-kanak itu kebiru-biruan dan kejang.
Usaha Selvi untuk membantu mangsa gagal apabila tangannya diikat dan mulutnya disumbat dengan kain sebelum dikurung di bilik tidur oleh tertuduh. Anak kedua pasangan tersebut yang ketika itu berusia sembilan tahun pula melihat tertuduh memukul, menendang dan memijak mangsa sehingga mati di ruang dapur rumah.
Dia juga melihat tertuduh membungkus mangsa di dalam kain dan dimasukkan ke dalam sebuah beg sebelum keluar dari rumah menaiki motosikal.
Siasatan mendapati tertuduh telah mencampakkan beg itu ke longkang besar berhampiran Pelabuhan Klang dan dijumpai beberapa bulan kemudian di Perairan Selat Melaka, berhampiran Pulau Sembilan, Teluk Intan. Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sempurna.