BEIRUT: Israel mengebom sasaran di Lubnan dan Gaza pada Ahad, menjelang ulang tahun pertama serangan 7 Oktober 2023 yang mencetuskan peperangan.
Serangan udara Israel menghujani kawasan selatan Beirut, dalam pengeboman paling sengit di ibu negara Lubnan sejak rejim memperhebatkan kempen menentang Hezbollah yang disokong Iran, bulan lalu.
Tentera Israel melaporkan jet pejuangnya menyerang sasaran milik Ibu Pejabat Perisikan dan kemudahan penyimpanan senjata Hezbollah di Beirut.
Serangan juga menyasarkan Hezbollah di selatan Lubnan dan kawasan Beqaa.
Tentera Israel mengeluarkan arahan pemindahan baharu untuk penduduk di selatan Beirut lewat semalam, sebelum serangan selanjutnya.
Pada malam Ahad, Israel mengisytiharkan tiga lagi kawasan di sempadan utaranya sebagai zon tentera tertutup selain lebih lima ditutup minggu lalu sebagai kawasan pementasan tentera.
Serangan Israel terhadap sebuah bangunan di bandar pergunungan Kayfoun di tengah Lubnan membunuh enam orang dan mencederakan 13 yang lain, kata Kementerian Kesihatan Lubnan.
Serangan di bandar berhampiran Qmatiye membunuh enam lagi nyawa, termasuk tiga kanak-kanak, dan mencederakan 11 yang lain.
Di Gaza, sekurang-kurangnya 26 terbunuh dan 93 lagi cedera apabila serangan udara melanda sebuah masjid dan sekolah yang melindung penduduk kehilangan tempat tinggal pada Ahad.
Tentera Israel sekali lagi mendakwa, serangan itu tepat menyasarkan pejuang Hamas.
Sementara itu, roket Hezbollah yang dilancarkan lewat malam tadi melepasi sistem pertahanan udara Israel dan mendarat di Haifa, bandar ketiga terbesar, menyebabkan kerosakan pada bangunan.
Media Israel melaporkan, 10 orang cedera dalam serangan roket di Haifa dan bandar Tiberias.
Hezbollah berkata, ia menyasarkan tapak tentera di selatan Haifa dengan pelancaran peluru berpandu ‘Fadi 1’.- REUTERS